Arowana
Arowana ini mempunyai bentuk unik dan harganya agak tinggi berbanding ikan bentuk biasa.
Arowana
Yolk atau telur arowana ini berusia kira-kira satu minggu
Lenggok dan gerak badannya yang mempesonakan mampu membuatkan sepasang mata kaku menyaksikan makhluk ciptaan ini. Tambah menarik, struktur dan bentuknya sentiasa menarik perhatian bukan sahaja dalam kalangan peminatnya malah sesiapa yang menyukai kecantikan.
Emas berenang dengan pelbagai warna dan dianggap membawa tuah. Itulah perkataan yang paling sesuai sekali untuk menggambarkan kehebatan atau kelebihan ikan hiasan popular di negara ini iaitu ikan arowana.
Barangkali itulah yang menjadi daya penarik utama bagi kebanyakan peminat ikan ini termasuk anak kelahiran Kelantan, Suhaimi Md Amin, 52 yang kini mengusahakan perniagaan ikan hiasan melalui syarikat miliknya, Arowana Assakinah Agro Farm.

Beliau berkata, penglibatan awal dalam perusahaan ikan arowana bermula pada akhir 2009 apabila beliau berhasrat untuk mempelbagaikan segmen perniagaannya selain penternakan kambing.
“Sebelum meneruskan hasrat ini, saya melakukan kajian dan pemerhatian terlebih dahulu. Apa yang saya dapati, bidang penternakan ikan arowana memang mampu mendatangkan keuntungan lumayan buat pengusahanya,” katanya pada Info Agro.
Atas faktor itu, beliau mula menjalankan perusahaan ikan arowana secara kecil-kecilan dengan membeli kira-kira 20 ekor anak ikan itu dari ladang pembiakan dan membesarkannya untuk dijual di satu sudut kecil di dalam  rumahnya.
Menurutnya, sambutan yang diterima pada masa itu amat menggalakkan dan beliau mula menambah stok bilangan ikan kepada 50 ekor pada satu masa dan jumlah stok jualan tersebut meningkat kepada kira-kira 100 ekor pada hari ini. 

“Pada peringkat awal, saya tidak mempunyai asas dalam penternakan ikan arowana namun saya mengambil inisiatif untuk mempelajari segala aspek dalam bidang ini daripada mereka yang mahir dan berpengalaman.
“Untuk beberapa bulan pertama, saya hanya mempelajari kaedah penjagaan dan ternakan secara asas dan lama-kelamaan saya semakin menguasai bidang ini secara tidak langsung apabila menjalankan pelbagai urusan berkaitan ikan arowana,” katanya.

Hanya jual baka terbaik

Bilik pameran beliau yang dikenali sebagai Assakinah Arowana menawarkan empat jenis baka utama ikan arowana untuk jualan iaitu Chili Red, Malaysia Gold, Emas Merah dan Highback Golden. Kesemua ikan itu mempunyai harga tinggi terutama Chili Red yang mampu mencecah harga RM1500 bagi saiz empat inci.
“Saya hanya memasarkan ikan arowana daripada baka baik dan berkualiti sahaja. Untuk meyakinkan pelanggan, ikan yang dijual dimasukkan mikrocip bagi memberi jaminan bahawa baka tersebut adalah sebagaimana yang didakwa atau diberitahu kepada pelanggan,” katanya.

Suhaimi berkata, harga ikan arowana masih tinggi jika dibandingkan dengan ikan hiasan lain. Lazimnya harga ikan akan bergantung pada beberapa faktor seperti kualiti, saiz, keadaan permintaan, bekalan semasa dan lain-lain.

Menurutnya, bekalan anak ikan akan meningkat pada musim hujan kerana cuaca sejuk adalah masa terbaik bagi  pembiakan ikan ini.

“Ikan arowana memang sejenis ikan yang istimewa kerana ia mempunyai sisik berkilau dan kelihatan amat cantik apabila disinari dengan cahaya lampu di dalam akuarium.

“Apa yang menarik, ikan ini akan nampak semakin cantik apabila ia makin mencapai umur matang dan mempunyai nilai komersial yang tinggi,” katanya.

Ketika ditanya tentang bekalan anak ikan arowana, beliau berkata, syarikatnya memiliki lima buah kolam pembiakan arowana di sebuah ladang pembiakan yang diusahakan rakannya di Bukit Merah, Perak.

Pada kebiasaannya, anak ikan arowana akan dilahirkan dan dibesarkan di ladang pembiakan  sehingga mencapai saiz 2.5 inci sehingga 3 inci sebelum di bawa ke bilik pamerannya di Taman Melati, Setapak.

“Selepas itu, saya akan  membesarkannya untuk tempoh beberapa bulan lagi di sebuah bilik bersebelahan bilik pameran sebelum diletakkan di bilik pameran untuk jualan,” katanya.

Bukan bidang sukar

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke bilik pamerannya datang dari seluruh negara di mana mereka ini merupakan peminat ikan arowana sejati.

“Saya katakan begitu kerana hanya mereka yang benar-benar mencintai ikan ini akan sanggup datang ke bilik pameran saya yang terletak di sebuah rumah di taman perumahan dan bukannya di rumah kedai,” katanya.  
Suhaimi berkata, penternakan ikan arowana bukanlah satu bidang yang sukar untuk diceburi kerana apa paling penting adalah minat dan komitmen bagi memastikan ia memberi pulangan yang diingini.
“Saya akui perniagaan dalam bidang ini juga mempunyai pelbagai cabaran terutama daripada aspek pemasaran selain kawalan penyakit seperti serangan bakteria dan kulat.   

“Oleh itu, saya banyak berkongsi ilmu tentang panduan asas penjagaan, cara mengenal baka, dan pemasaran di laman blog www.assakinah-arowana.com bagi menggalakkan orang ramai terutama anak muda untuk meminati bidang ini,” katanya.

Ketika ditanya tentang industri ikan hiasan, Suhaimi berkata, ia masih berada pada tahap baik dan boleh dilihat melalui pembukaan banyak ladang pembiakan ikan hiasan di seluruh negara.

Bagaimana pun, aspek pemasaran untuk industri ini masih lemah kerana bilangan peladang lebih ramai daripada golongan peniaga.

“Usaha mengeksport ikan ini perlu diluaskan bukan sahaja di China, Thailand dan Vietnam malah negara Eropah dan Amerika Syarikat kerana kuasa membeli dan pasaran di negara kita agak terhad.

“Saya harap Jabatan Perikanan dapat membantu mengatasi situasi itu sekali gus memastikan industri ini akan terus berkembang dan berdaya saing dipasaran global,” katanya.