Tuesday, October 12, 2010

AROWANA BANJAR RED - PART 2

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua...

Lanjutan kepada perbincangan kita mengenai arowana banjar red, di bawah ini adalah paparan gambar-gambar arowana hibrid (banjar red) semasa bersaiz kira-kira 6 inci, yang dibela dalam "white fiber tank" sejak kecil. Kelihatan agak cantik, pandangan atas seolah-olah arowana crossback, tetapi warna emasnya agak pudar.

Corak seolah-olah crossback di atas belakang dan kepala seolah-olah terdapat tompokan keemasan macam golden head
Sila klik gambar-gambar di atas untuk melihat dengan lebih jelas. Anda akan dapat melihat corak seolah-olah 'gold ring' kelihatan di sisik paras ke-6, ala-ala crossback. Tetapi dari pandangan sisi, gold ring tidak kelihatan pada level 4 dan ke bawah. Sisik kelihatan licin, dan tidak kelihatan "frame". SIla lihat paparan gambar di bawah (gambar ini ketika bersaiz kira-kira 10 ke 11 inci).



Sungguh pun sisik berkilau keemasan, tetapi warna emasnya agak pudar (kurang pekat). Corak "horse shoe" berwarna hijau sebagaimana pada banjar red pula dapat dilihat di dalam sisik.
Terdapat warna keemasan di bahagian atas belakang dan atas kepala, seolah-olah arowana crossback

Monday, October 11, 2010

AROWANA HIBRID - BANJAR RED

Assalamualaikum wm wbkh!

Dalam dunia perniagaan arowana yang menghasilkan keuntungan yang sangat lumayan ini, manusia terkadang-kadang menjadi tamak dan cuba mengaut keuntungan sebanyak mungkin. Ada sesetengah kalangan peniaga arowana menjual baka arowana hibrid dengan harga baka tulen. Oleh kerana baka hibrid sukar untuk dibezakan dengan baka tulen sewaktu masih bersaiz kecil, maka ramai penggemar arowana yang tertipu, walau pun sudah bergiat dalam bidang ini selama bertahun-tahun.

Cuba lihat gambar seekor arowana "banjar red" yang saya paparkan di bawah. Ketika gambar ini diambil, arowana ini bersaiz kira-kira 7 inci.  Sejak kecil, ia dibela dalam "white fiber tank", dan kini dialihkan ke dalam akuarium kaca berlatar belakang putih. Untuk makluman, banjar red adalah kacukan arowana merah (biasanya super red) dan arowana hijau, yang harga sangat murah di pasaran.

Bahagian atas belakang berwarna keemasan - not bad!

Arowana Banjar Red ini mempamerkan ciri-ciri seakan-akan arowana gold iaitu sisik berkilau, warna ekor kuning ke arah oren, dan seolah-olah terdapat gold ring pada sisik paras 5. Walau bagaimana pun, apabila diteliti, didapati tiada gold ring pada sisik paras 3 dan 4. Badan kelihatan licin dan "frame" pada sisik tidak dapat dilihat. "Chu" kelihatan agak jelas walau pun  baru bersaiz kira-kira 7 inci. Pada mulanya saya menyangka ini adalah arowana "gold hibrid, iaitu kacukan antara baka gold dan arowana jenis lain. Selepas pemerhatian teliti, dapat dilihat corak "horse shoe" berwarna hijau dalam sisik. Corak "horse shoe" ini tidak akan dilihat sekiranya ikan ini diberi "white tank treatment" atau dibela dalam akuarium dengan latarbelakang putih.
Memang sukar nak dibezakan antara arowana gold tulen dengan yang hibrid ketika masih bersaiz kecil. Dalam gambar di atas, saiznya sudah agak besar iaitu kira-kira 7 inci dan corak berwarna hijau di dalam sisik sudah semakin jelas. Semasa bersaiz kecil, corak ini langsung tak dapat dikesan.

Seperkara lagi yang harus diingat, sekiranya arowana yang dikatakan baka gold tulen mempamerkan "chu" yang halus dan teratur walau pun masih bersaiz kecil, berhati-hatilah kerana ia mungkin baka hibrid. Harga yang lebih murah merupakan suatu tarikan untuk kita membelinya, tetapi ingatlah!.... biasanya "cheap thing is not good" dan "good thing does not come cheap".

Assalamualaikum wm wbkh!






Sunday, October 10, 2010

TIPS MEMBEZAKAN AROWANA BAKA GOLD PELBAGAI GRED

Assalamualaikum wm wbkh!
Berikut pula adalah beberapa tips membezakan antara pelbagai gred arowana gold iaitu Malaysia Golden (MG), Super High Back (SHB) dan High Back (HB).

1. "Gold rings" (juga dipanggil gold rims) atau cincin emas pada sisik :
Umumnya pada arowana MG matang (umur lebih 2.5 tahun) dan separa matang(umur antara 1.5 tahun hingga 2 tahun lebih), gold rings kelihatan hingga ke sisik di paras 5.5, iaitu gold rings sudah naik hingga ke sebahagian dari sisik paras 6.
Pada SHB, umumnya gold rims naik hingga ke paras  5, manakala bagi HB ia naik hingga ke paras 4.5.

2. Kepekatan warna emas
Bagi MG, warna emas gold ring lebih pekat, pada SHB agak kurang pekat sedikit manakala pada HB pula warna emasnya agak pudar dan seakan warna keperakan.
Warna emas pada plat pipi (gill plate) juga menunjukkan kepekatan yang lebih pada MG, kurang pekat sedikit pada SHB, manakala pd HB is kelihatan agak pudar iaitu berwarna emas keperakan.

3. Jalur gelap pada sisik  atas belakang
Pada MG, jalur gelap kehitaman di atas belakang agak tipis iaitu pada sisik paras 6 sahaja. Bagi SHB jalur ini lebih lebar hingga ke paras 5, manakala pada HB ia lagi lebar.

Bagaimana membezakan anak-anak arowana MG, SHB dan HB.
1. Kesemua arowana baka gold mempamerkan ekor berwarna kuning ke arah oren, di mana bahagian hujung ekornya kelihatan berwarna oren lebih pekat. Adalah mustahil untuk membezakan anak-anak MG, SHB adan HB berdasarkan warna ekor.
2. Kaedah untuk membezakan anak-anak gold yang bersaiz kecil (dari 5 inci ke atas) adalah dengan melihat berapa lebar jalur gelap di atas belakang. Sebagaimana arowana gold dewasa, anak-anak arowana gold yang bersaiz 6 inci ke atas biasanya sudah mempamerkan kelebaran yang berbeza bagi jalur gelap kehitaman ini. Anak-anak MG mempamerkan jalur gelap yang tipis iaitu sekitar sisik 6 sahaja, manakala pada SHB ia lebih lebar hingga ke paras sisik 5.5 atau 5, sedangkan pada HB jalur ini melebar hingga hampir sisik paras 4.

Tambahan:
Bagi kesemua baka gold yang disebut di atas yang sudah agak besar, iaitu kira-kira 6 inci ke atas, apabila diletakkan di dalam akuarium berlatarbelakang gelap, akan menunjukkan diri-ciri berikut:
1. sirip dorsal (dorsal fin) berwarna kehitaman.
2. ekor dan sirip di bawah ekor berwarna kemerahan dengan kehadiran jalur-jalur kehitaman.

Demikianlah kaedah umum untuk membantu anda sekalian membezakan antara pelbagai gred arowana gold.

Komen dari pengunjung adalah sangat dihargai.

NOTA: Penerangan yang diberikan ini adalah merupakan penerangan asas berkaitan topik di atas.Untuk penerangan yang lebih mendalam mengenai topik yang sama, sila klik di sini.



Friday, October 8, 2010

TIPS MENGENALI ANAK AROWANA GOLD

Assalamualaikum wm wbkh!
Sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini, di sini saya paparkan beberapa tips yang saya pelajari dari sifu-sifu arowana  yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini.

1. Adalah menjadi kebiasan bagi penternak-penternak arowana untuk membela arowana jenis gold di dalam tangki fiber berwarna putih sebelum dimasukkan ke dalam kolam pembiakan. "White tank treatment" dapat membantu mempercepatkan kilauan sisik dan mempercepatkan terhasilnya "gold ring". Ini ditambah pula dengan lampu berwarna putih.

2, Anak-anak arowana dari berlainan baka samaada gold, banjar red, yellow tail dan hijau adalah kelihatan seiras dan hampir sama, bagi orang yang baru berkecimpung dalam bidang ini memang mustahil untuk membezakannya. Apatah lagi anak-anak arowana yang diberi white tank treatment, rupa mereka kelihatan sama sahaja walaupun baka mereka adalah berbeza.

3.  Salah satu cara paling asas untuk membezakan baka gold (high back, super high back, malaysia golden dan golden head) adalah dengan kaedah berikut:
i. masukkan anak arowana ke dalam beg plastik dan lihat di tempat yang mempunyai cahaya yang terang. Ekor anak arowana gold mesti kelihatan berwarna kuning dan di bahagian hujung ekor pula warna bertukar menjadi oren. Sirip dorsal (sirip belakang di bahagian atas) dan sirip belakang di bahagian bawah berwarna kuning dengan terdapat jalur hitam.
ii. Sekiranya anak arowana ini dibela di dalam white tank, warna sebegini juga dapat dilihat.

4. Kaedah lebih "advance" dan lebih tepat adalah dengan memasukkan anak arowana ke dalam akuarium kaca yang dibaluti sticker hitam di semua dindingnya kecuali bahagian hadapan. Selepas beberapa hari, warna ekor akan bertukar menjadi warna kuning manakala di bahagian hujung ekor, warna bertukar kepada oren kemerahan. Jalur hitam juga kelihatan pada ekor dan sirip. Arowana dari baka lain seperti hijau dan yellow tail akan menunjukkan warna ekor berwarna putih atau putih kekuningan. Bagi banjar red pula, warna ekor berwarna kemerahan yang sekata (uniform).

5. Satu ciri utama yang membezakan arowana baka gold dengan baka selainnya adalah sisik yang mempamerkan kilauan dan kehadiran "gold ring". Kedua-dua ciri ini mengakibatkan sisik arowana gold menghasilkan suatu "frame"  yang boleh dilihat sejak dari kecil iaitu dari saiz kira-kira 4 ke 5 inci ke atas. Bagi baka selain gold, badan ikan kelihatan licin sahaja, kerana tiadanya 'frame'.

Perhatikan corak jalur hitam pada sirip atas (dorsal fin) yang jelas kelihatan bagi baka golden (termasuk Highback). Ekor dan sirip bawah pula berwarna kuning dan warna ini menjadi lebih pekat di bahagian hujung (tepi)
Arowana Super High Back Golden ini yang baru bersaiz kira-kira 6 inci sudah mempamerkan sisik yang berkilau manakala "gold ring" juga jelas kelihatan. Sisik kelihatan seolah-olah ber"frame" dan tidak kelihatan licin. Corak jalur kehitaman jelas kelihatan pada sirip dorsal


6. Sekiranya anak arowana yang diberi white tank treatment dan dipasang lampu putih menunjukkan kilauan yang sangat ketara di bahagian atas badan, seolah-olah berwarna emas, maka  jangan mudah terpedaya. Berhati-hatilah kerana besar kemungkinan ia dari baka hibrid yang bermutu rendah tetapi menjadi sedemikian akibat kesan cahaya ("light tan").

7. Belilah dari sumber yang boleh dipercaya dan dapatkan jaminan supaya sekiranya berlaku sebarang kesilapan baka yang dibeli, anda dapat menukar kembali dengan baja yang betul.

Sekian .... komen anda adalah dihargai.

Wednesday, October 6, 2010

PENIPUAN DALAM DUNIA PERNIAGAAN AROWANA

Assalamualaikum wm wbkh kepada semua pengunjung blog ini ...

Sudah agak lama saya tidak menghantar "posting" yang berinformasi kerana agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Untuk makluman semua, saya dan isteri InsyaAllah akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini, dan kami dijangka berlepas pada 23 Oktober ini, iaitu kurang 3 minggu dari sekarang.

Berbalik kepada dunia arowana, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman sejak melibatkan diri secara aktif dalam perniagaan ikan ini pada Januari tahun ini. Sebagaimana bidang perniagaan lain,  dunia arowana juga dicemari oleh peniaga-peniaga yang tidak jujur dan ingin "cepat kaya". Terdapat amalan yang menjual anak arowana gred tertentu dengan cara mengiklan atau "claim" sebagai baka dari gred yang lebih tinggi. Bahkan ada yang membekalkan arowana baka hibrid atau kacukan gred rendah tetapi mengiklankan sebagai baka tulen atau gred lebih tinggi.

Saya sendiri sudah 3 kali terkena dengan tipu muslihat seperti ini, kesemuanya saya beli dari peniaga di Utara Semenanjung. Daripada 3 "batch" tersebut, hanya 1 batch sahaja yang saya berjaya menuntut kembali wang dan memulangkan ikan tersebut, itupun sesudah menempuh susah payah.

Pesanan saya untuk semua.... berhati-hati dalam membeli anak-anak arowana yang masih kecil.

Sebenarnya terdapat kaedah untuk menentukan menentukan samaada baka yang dibekalkan adalah baka sebenar sebagaimana yang di"claim" oleh penjual. InsyaAllah saya akan memberikan tips bagaimana mengenali anak arowana baka "gold" dan membezakannya dari baka hibrid mutu rendah seperti kacukan gold dan yellow tail atau lain-lain...

Thursday, September 9, 2010

Selamat Menyambut Idul Fitri

Assalamu'alaikum wm wbkh!

Kami mengucapkan

Selamat Menyambut IdulFitri

Maaf Zahir & Batin

Saturday, September 4, 2010

Gambar-gambar Terbaru Arowana di Showroom Kami

Assalamualaikum wm wbkh!
Kita kini sedang berada di 10 hari terakhir bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, yang masih berbaki 5 hari. Fasa ke 3 Ramadhan yang merupakan 10 hari terakhir dari bulan yang mulia ini merupakan fasa terpenting dan pada fasa ini jugalah berlakunya malam Al-Qadr. Sebagaimana yang kita semua maklum bahawa kelebihan beribadat pada malam AlQadr adalah bersamaan dengan beribadat selama lebih dari 1000 bulan atau 83 tahun. Jadi sama-samalah kita berusaha 'mencari' malam Al-Qadr ini, yang mungkin dah berlalu, atau mungkin juga kita masih berpeluang bertemu dengan malam tersebut. Semoga kita semua tak lupa untuk mempertingkatkan amalan, terutamanya qiam dan membaca AlQur'an di sepanjang malam fasa terakhir Ramadhan ini. Solat sunat witir jangan sekali-kali ditinggalkan kerana ia adalah amalan sunat yang sangat-sangat dituntut. Solat witir boleh dilakukan sekurang-kurangnya 1 rakaat, dan bagi yang berkemampuan pula boleh dilakukan sehingga 11 rakaat. Sebagaimana yang kita semua maklum, bilangan rakaat solat witir mestilah ganjil.

Berbalik kita kepada kisah arowana. Di bawah ini saya paparkan gambar-gambar terbaru stok arowana di showroom saya.

Pandangan dekat arowana golden head 24K bersaiz antara 6 ke 7 inci



Gambar-gambar di atas  menunjukkan Chilli Red kami yang bersaiz kira-kira 6 ke 7 inci. Arowana ini telah siap dipasang chip dan didatangkan dengan sijil dari ladang yang mengesahkan ketulenan baka chilli red ini.



Di atas ini pula adalah sekumpulan Malaysia Golden (MG) Crossback bersaiz kira-kira 12 inci. Kelihatan salah seekor darinya telahpun 'cross' pada sisik paras ke-6, sementara yang 2 ekor lagi sisik emasnya sedang terbina


Ini pula sekumpulan 9 ekor arowana banjar red



Super Highback bersaiz kira-kira 3.5 ke 4 inci



 
Super highback bluebase bersaiz kira-kira 5 ke 6 inci yang diberi "white tank treatment"




Super Highback bluebase bersaiz kira-kira 5 ke 6 inci, dari 'batch' yang sama dengan yang di atas tadi, tetapi yang seekor ini diletakkan pula ke dalam akuarium yang diberi latarbelakang gelap, selepas beberapa bulan diletakkan di dalam "white tank". Lihat ring emas yang sudah jelas. Ciri-ciri bluebase juga jelas kelihatan.

Monday, August 16, 2010

Arowana MG Crossback Blue Base

Assalamualaikum wm wbkh!
Berikut ini saya paparkan seekor arowana yang cukup cantik. Ikan ini adalah kepunyaan seorang kenalan saya bernama Azman dari Pulau Pinang dan dibela di sebuah ladang arowana di Utara Semenanjung.

Sisik arowana crossback ini sangat pekat warna birunya.
Gambar arowana yang sama, kini berada dalam kolam





Usia arowana ini pada masa ini adalah kira-kira 6 tahun. Arowana blue base yang cantik dan berkualiti tinggi seperti ini sangat sukar didapati dan harga pasarannya pula sangat tinggi kerana ia adalah baka yang "very much sought after". Kalau sesiapa yang ada MG blue base yang cantik macam ni dan teringin nak menjualnya, sila hubungi saya.... ada pembeli yang sedang menunggu............ Kalau ada anak blue base pun boleh.

Arowana golden secara umumnya mencapai usia matang pada usia kira-kira 3 tahun. Pada usia inilah arowana induk mula mengawan dan menghasilkan telur.

Apa pendapat anda tentang arowana crossback blue base di atas, cantik kan?

Friday, August 13, 2010

Potongan Istimewa Sempena Ramadhan AlMubarak

Assalamualaikum wm wbkh!

Atas cadangan dan permintaan pengunjung setia blog ini, bersempena dengan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, kami dengan ini menawarkan potongan harga istimewa untuk jualan di sepanjang bulan Ramadhan ini. Harga diskaun yang ditawarkan adalah sehingga ke 20% dari harga yang tersenarai dalam iklan kami di mudah.my, bergantung kepada jenis baka. Untuk mendapatkan diskaun ini, disyaratkan pembelian minima adalah 5 ekor serta membuat tempahan awal. Pembeli bagaimanapun dibenarkan berkongsi pembelian dengan kawan-kawan untuk mematuhi syarat ini.

Stok arowana high back bersaiz antara 2.5inci ke 3 inci pula dijangka akan tiba dalam tempoh terdekat, InsyaAllah. Stok boleh ditempah mulai sekarang, dan InsyaAllah akan tiba sebelum berakhir Ramadhan. Harga istimewa arowana high back bersaiz 2.5 ke 3 inci ini adalah RM750 seekor. Syarat-syaratnya adalah pembelian minima mestilah 5 ekor dan deposit tempahan sebanyak 30% dari nilai belian hendaklah dibuat terlebih dahulu. Bagi belian dengan kuantiti 20 ekor ke atas, pembeli hanya perlu membayar 10% deposit.

Sekian, terima kasih semua...

Assalamualaikum wm wbkh!

Wednesday, August 11, 2010

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum wm wbkh!
Sempena kedatangan bulan ramadhan yang penuh berkah ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua. Sama-samalah kita hidupkan bulan yang mulia ini dengan  berpuasa di siang hari, bersolat tarawih pada waktu malam, serta qiam pada tengah malam. Juga sesama kita menambahkan lain-lain ibadah seperti membaca kitab AlQuran dan bersedekah di bulan yang mulia ini.

Semoga kita semua diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah  untuk beribadah dan dimasukkannya ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.... amiiin...