Monday, May 24, 2010

AROWANA YELLOW TAIL

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua...
Sudah agak lama saya tidak menghantar sebarang posting dalam blog ini kerana kesibukan. Saya sebenarnya sibuk menyiapkan 'showroom' baru untuk arowana memandangkan showroom sedia ada yang terletak di ruangan makan (dining room)  rumah saya agak kurang sesuai untuk menerima kunjungan tetamu dan penggemar-penggemar arowana yang datang berkunjung pun merasa agak kurang selesa.

Alhamdulillah, showroom baru yang terletak betul-betul bersebelahan rumah saya kini telah siap dibina dan telah beroperasi mulai semalam, iaitu Ahad 23 Mei. Showroom baru ini juga telah menerima kunjungan beberapa orang tetamu penggemar arowana, malah telah mencatat jualan pertamanya pada hari pertama ia beroperasi, Alhamdulillah...

InsyaAllah saya akan poskan gambar-gambar showroom baru ini di dalam blog ini sedikit masa lagi.

Sementara itu, berikut ini saya poskan gambar-gambar arowana Yellow Tail untuk tatapan pengunjung semua. Saya telah beberapa kali menerima pertanyaan dari penggemar-penggemar arowana mengenai ciri-ciri arowana jenis yellow tail ini.









Arowana Yellow Tail bukanlah dari species arowana golden tidak mempunyai sisik emas.

Thursday, April 29, 2010

MATA JULING (EYE DROOP)

Assalamualaikum wm wbkh...
Fenomena mata juling ke bawah, atau lebih dikenali dengan "mata jatuh" atau dalam bahasa inggerisnya "eye droop" adalah keadaan di mana salah satu mata (atau kadang-kadang kedua-dua belah mata) arowana kelihatan memandang ke bawah sentiasa.
Ia bukanlah suatu penyakit bawaan bakteria atau sebagainya, dan tidaklah merbahaya kepada arowana tersebut. Walau bagaimanapun, dari sudut kecantikan, nilainya jatuh dan tidak disukai oleh para hobbyist.

Sebab-sebab berlakunya mata jatuh
Berbagai hipotesis dikemukakan oleh penggemar arowana tentang sebab-sebab berlakunya "mata jatuh" ini. Antaranya adalah :
1. disebabkan pemakanan tertentu seperti palet (butiran) yang agak keras
2. disebabkan oleh pemakanan ulat 'super worm' berlebihan yang menyebabkan lemak berlebihan terkumpul di bahagian atas mata, lalu menyebabkan bola mata tertolak ke bawah seterusnya menjadi juling. Ini mungkin suatu fakta kerana super worm dikatakan mempunyai kandungan lemak yang tinggi.
3. disebabkan oleh pemakanan seperti udang (yang kebiasaannya bermain di dasar akuarium), menyebabkan arowana selalu memandang ke bawah semasa mencari makanan.
4. kedudukan tangki akuarium yang tinggi menyebabkan arowana asyik memandang ke luar akuarium ke arah bawah, terutamanya apabila terdapat objek di luar akuarium yang menarik perhatian arowana tersebut.
5. dan spelbagai sebab lain.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya, pemberian udang sebagai makanan tidak menjadi punca kepada masaalah ini. Sebaliknya, kedudukan akuarium yang tinggi di mana ia menggalakkan arowana asyik memandang keluar akuarium ke arah bawah boleh menjadi salah satu puncanya. Dari  pembacaan saya pula, seorang penulis buku berkenaan arowana telah menjalankan eksperimen dan berjaya membuktikan bahwa "mata jatuh" adalah disebabkan oleh arowana memakan makanan keras seperti palet. Jadi, elakkan dari memberi makanan palet atau butiran kepada arowana anda. Pemberian super worm berlebihan juga terbukti boleh menyebabkan mata jatuh, berdasarkan pengalaman saya sendiri serta rakan-rakan penggemar arowana yang lain.

Bagaimana merawat mata juling
Kebanyakan penggemar arowana serta penulis buku berkenaan ikan peliharaan ini berpendapat bahawa keadaan mata juling hanya dapat dirawat melalui pembedahan kecil.

Bagaimanapun, sekiranya ia berlaku pada arowana yang masih muda, kaedah melatih pemandangannya mungkin dapat membantu matanya pulih kembali tanpa perlu melalui pembedahan. Memasukkan objek terapung yang dapat menarik perhatian arowana dan menariknya untuk sentiasa memandang ke atas dapat membantu. Contohnya, meletakkan superworm di dalam bekas transparent dan membiarkannya terapung di dalam akuarium.

Begitu juga, penggunaan objek berwarna  terang (seperti bola pingpong berwarna oren/merah) mungkin juga dapat membantu. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri di mana saya mempunyai seekor MG Crossback yang berusia kira-kira 8 bulan dan bersaiz kira-kira 8 inci. Saya memeliharanya bersama 4 ekor arowana lain di dalam sebuah tangki fiber bertingkap kaca yang diletakkan di atas sebuah 'stand' setinggi kira-kira 3 kaki dari lantai.

Pada suatu ketika, saya dapati matanya mulai juling ke bawah. Menyedari hal ni, saya mengalihkan tangki fiber tersebut dan meletakkannya di atas lantai. Saya juga menutup bahagian bawah tingkap kaca tangki tersebut dengan 'sticker'. Tujuan saya adalah supaya arowana tersebut tidak dapat memandang keluar ke arah bawah, sebaliknya matanya terpaksa memandang ke arah atas apabila melihat orang lalu lalang. Selepas melatihnya dalam keadaan begini selama kira-kira  2bulan, saya dapati matanya beransur pulih dan tidak lagi kelihatan terlalu juling.... Alhamdulillah...

Walau bagaimanapun, rawatan seperti ini mestilah dilakukan secara berterusan. Jika tidak, mata arowana akan kembali juling ke bawah semula.
\

Monday, April 26, 2010

MaklumBalas Lanjutan Mengenai Penggunaan AntiKlorin dan Bakteria Baik (EM)

Assalamualaikum wm wbkh!

Saya telah memuatkan beberapa penjelasan lanjut mengenai topik di atas yang amat berguna kepada mereka yang berminat untuk berkecimpung dengan lebih mendalam dalam bidang pemeliharaan arowana. Penjelasan ini diberikan oleh En. Ahmad Azrai, seorang yang saya anggap 'sifu' dalam bidang ini.

Pengunjung yang berminat mengenai topik ini, sila klik link di bawah:

http://arowana-assakinah.blogspot.com/2010/04/tips-of-day-penggunaan-anti-klorin-dan.html

Pengunjung boleh mengutarakan persoalan dan komen lanjutan di  link di atas.

Tuesday, April 6, 2010

TIPS OF THE DAY - Penggunaan "Corals" (Batu Karang)

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua!
Tahukah anda bahawa penggunaan "corals" dalam akuarium anda akan menyebabkan pH air menaik? "Corals" merupakan bahan beralkali dan sekiranya dimasukkan ke dalam akuarium, air akuarium akan menjadi lebih beralkali, menyebabkan petunjuk pHnya naik melebihi 7.

Tahap pH air yang sesuai bagi membela arowana adalah sekitar 7 iaitu neutral. Arowana akan berada dalam persekitaran yang selesa sekiranya air akuarium adalah neutral.

Sedikit ulangkaji:
Nilai pH :
0 hingga 7 - asid
7 - Neutral
7 hingga 14 - alkali

Anda seharusnya menguji tahap pH air akuarium anda sebelum menggunakan "corals". Sekiranya bacaan pH adalah di bawah 7, misalnya 5, anda digalakkan memasukkan "corals" ke dalam blok filter akuarium untuk membantu pH supaya mencapai tahap neutral, iaitu 7.

Walau bagaimanapun, sekiranya pH air sudah berada di sekitar 7 atau lebih tinggi, penggunaan ""corals" adalah tidak wajar sama sekali.

Monday, April 5, 2010

TIPS OF THE DAY - Penggunaan Anti-Klorin Dan Bakteria Baik (EM) Dalam Penternakan Arowana

Assalamualaikum wm wbkh!

Anti-klorin
Untuk pengetahuan pengunjung-pengunjung blog ini yang baru berkecimpung dalam dunia penternakan ikan hiasan terutamanya arowana, penggunaan anti-klorin dalam air akuarium bukanlah sesuatu yang wajib. Sekiranya saudara-saudari menggunakan air paip, adalah lebih baik menakung air selama beberapa hari, seterusnya menggunakan air yang ditakung ini untuk menukar air akuarium ikan hiasan anda. Tidak perlu lagi dimasukkan anti-klorin, kerana air yang ditakung sudah hilang kesan klorinnya.


Bakteria Baik atau EM (Effective Microorganisms)
Satu lagi amalan baik yang sangat disyorkan dalam penternakan arowana adalah penggunaan 'bakteria baik', terutama untuk membela anak-anak arowana yang masih kecil. Bakteria baik tidak memudaratkan ikan hiasan anda bahkan mampu melawan bakteria jahat yang berkembang biak di dalam air akuarium.

Bakteria baik boleh dibeli di mana-mana kedai akuarium. Ia seharusnya dibela di dalam tangki atau akuarium takungan air  khas selama beberapa minggu. Masukkan bakteria baik mengkut kuantiti yang disyorkan oleh pengilang ke dalam tangki takungan atau akuarium khas anda. Selepas 3 hingga 4 minggu, bakteria baik sepatutnya sudah berkembang di dalam tangki takungan tadi. Air dari tangki ini yang mengandungi bakteria baik tersebut bolehlah digunakan untuk menggantikan air akuarium anda.

Amalan di atas disyorkan oleh sifu-sifu yang sudah lama bergiat dalam penternakan arowana. Saya pernah  mengamalkan penggunaan bakteria baik sebelum ini dan Alhamdulillah... kesannya sangat positif.

Selamat mencuba....

Kemaskini 6 April 2010
Penggunaan "bio rings" dan "bio balls" dapat membantu pembiakan bakteria baik, kerana kedua-duanya adalah seumpama rumah bagi bakteria baik hidup dan membiak.

Wallahua'alam...


 
Sedikit Tambahan atas permintaan beberapa orang pengunjung ke blog ini

Salah satu jenama Bakteria Baik di dalam pasaran adalah OCEAN FREE Bacteria Battle 8000 yang dijual di dalam botol 250ml. Ia boleh digunakan untuk kuantiti air 10500 liter.

Sekiranya anda menakung air di dalam akuarium bersaiz 4 kaki x 2 kaki x 2 kaki, kuantiti air yang anda takung adalah seperti kiraan berikut:

Mengambil kira bahawa 1 kaki bersamaan dengan kira-kira 30cm atau 0.3m, maka:
4ka x 2ka x 2ka
= (4x0.3)m x (2x0.3)m x (2x0.3)m
= 1.2m x 0.6m x 0.6m
= 0.432 meter padu

1 meter padu bersamaan dengan 1000 liter
Jadi,
0.432 meter padu bersamaan dengan 432 liter atau 432 L

Sekiranya tangki akuarium anda diisi penuh, kuantiti air yang ditakung adalah 432 L.

Cecair bakteria baik jenama di atas boleh digunakan dengan kadar  berikut:
10500 L air perlukan 250ml bakteria baik

jadi,
432 L air perlukan 432 x (250/10500) = 10 ml

Jadi, anda hanya memerlukan 10 ml cecair bakteria baik untuk dimasukkan ke dalam akuarium takungan air berisi 432 liter air.


Nota: Penggunaan bakteria baik hanya disyorkan sekiranya anda jarang menukar air akuarium anda. Bakteria baik mengambil masa berminggu-minggu untuk membiak. Sekiranya anda kerapa menukar air, bakteria baik akan hilang bersama air yang ditukar.




Tuesday, March 23, 2010

Keghairahan Jamal Abdillah kepada ikan arowana


Minat Jamal Abdillah kepada arowana mendorong beliau memeliharanya dalam akuarium.

"SAMPAI bila saya nak menyanyi?," soal Jamal Ubaidillah Ali atau Jamal Abdillah apabila ditanya mengapa dia menceburi ternakan ikan kelisa atau arowana, satu industri akuakultur bernilai tinggi.
Jamal membayangkan dia tidak mungkin menyanyi seumur hidup untuk menampung hidup meskipun kerjaya seni itu menjadikannya popular.
Dalam usia mencecah awal 50-an, sesuatu perlu dilakukan dan ternakan ikan menjadi pilihan memandangkan minatnya sudah lama di situ.
Jamal berterus terang bahawa minatnya dalam ternakan ikan telah berputik secara sekian lama.
Pada awal 1993 , dia membuka kedai haiwan peliharaan termasuk ikan akuarium di Kelana Jaya berniaga selama dua tahun sebelum menjualnya kerana kesibukan.
Namun, meskipun tidak lagi mengusahakan perniagaa kedai peliharaan, dia masih memelihara ikan sebagai satu daripada hobi.
Malah, kerana minatnya yang mendalam kepada ikan aroawana, dia mempunyai akuarium sendiri yang menempatkan ikan kesayangannya itu.
Jamal berkata, jiwanya begitu tenang melihat ikan berenang damai dalam akuarium.
Katanya, setiap kali kembali daripada konsert atau aktiviti luar, dia akan terus 'menyapa' ikan arowana yang dipelihara dalam akuarium.
Ikan tersebut seakan menjadi penawar kepada jiwa resahnya. Barangkali dengan kesibukan, Jamal kelihatan lebih tenang dan damai memberi makanan cengkerik di dalam akuarium tersebut.
Apatah lagi melihat ikan arowana yang mempunyai pelbagai warna menarik dan berkilauan menjadikannya teruja dan sangat menyeronokkan.
Tidak cukup dengan itu, Jamal mengorak langkah lebih jauh dengan menceburi ternakan ikan bernilai tinggi itu dengan melabur kira-kira RM360,000.
Pelaburan tersebut membolehkannya memiliki 20 ekor ikan kelisa super red di samping 20 ekor spesies Malaysia Gold.
Bayangkan seekor ikan bernilai kira-kira RM5, 000 bagi induk matang dan setipa ikan diletakkan cip sebagai pengenalan.
''Harapan saya mahu menjadikannya sumber yang menguntungkan boleh mencapai keuntungan RM1 juta jika semuanya berjalan dengan baik,'' katanya.
Pelaburan itu dibuat selepas menerima pakej yang ditawarkan oleh Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. pada tahun lepas.
Ladang ternakan ikan arowana tersebut terletak di Simpang Empat, Semanggol, Perak.
Syarikat tersebut ditubuhkan sangat tepat pada masanya Malaysia memberi keutamaan kepada ternakan ikan arowana dan Bukit Merah merupakan kawasan yang sesuai untuk ternakan dan menjadi tempat asal habitat ikan arowana di negara ini.
Ternakan ikan arowana ini telah mula dijalankan di atas tanah seluas 34 ekar semenjak 2003 dan sejumlah 400 buah kolam telah dibangunkan untuk tujuan ternakan ikan arowana jenis merah dan emas.
Menurut pemilik ladang, Ahmad Don yang juga Pengarah Urusannya, ladang beliau berupaya untuk mengeluarkan 10,000 ekor anak ikan berukuran antara tujuh dan lapan sm setiap tahun.
Pasaran utama anak-anak ikan ini adalah untuk eksport ke negara seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.
Ladang ini telah memperolehi sijil CITES yang membolehkannya menjalankan perdagangan ikan arowana ke pasaran antarabangsa.
''Saya membuka kepada pelabur menyertai program ini dengan harapan mereka mendapat keuntungan dengan menawarkan spesies Malaysia Gold,'' katanya.
Spesies ini mendatangkan margin keuntungan lebih berbanding spesies lain.
Pakej yang ditawarkan melibatkan 20 ekor spesies Malaysian Gold bernilai RM50,000 dengan ikatan kontrak selama tujuh tahun.

Pelabur mempunyai pilihan sama ada membayar makanan ternakan sendiri selama tempoh dua tahun setengah atau 30 bulan bernilai RM2,000 sebulan atau RM60,000 selama tempoh tersebut.
Oleh itu katanya, selama tempoh ternakan 30 bulan itu, jumlah kos yang diperlukan ialah RM100,000 tetapi pelabur boleh memperoleh RM300,000 selepas itu
Pada masa sama, anak ikan yang dihasilkan di bahagi dua antara pelabur dengan syarikat BMA.
Menurut Ahmad, beliau kini mempunyai lebih 400 pelabur dengan 80 peratus merupakan bumiputera.

Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. boleh dihubungi di talian 05-8905997 05-8905997 , emel: info@bmaquaculture.com atau layari www.bmaquaculture.com.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_01.htm

Keuntungan lumayan ternak arowana

Ismail Ali bangga menunjukkan ikan arowana gold.


EMAS berenang dengan warna yang pelbagai dan dianggap membawa tuah. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan bagaimana ikan arowana terlalu berharga.
Sebab itu, industri ini semakin menarik minat mereka yang berkemampuan untuk melabur, kerana melihat potensinya yang boleh menjana keuntungan lumayan.
Sebab itu, banyak syarikat telah menceburkan untuk membuat pelaburan sama ada sebagai perniagaan teras atau cabang perniagaan, dan jumlahnya semakin meningkat terutama di kawasan Bukit Merah.

Bagi Happy Arowana Farm, keluasan kawasan yang mencecah 200 hektar (500 ekar) itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai kawasan pertumbuhan industri ternakan ikan arowana.
Apatah lagi menurut pemiliknya Ismail Ali, 33, kira-kira 90 peratus kawasan tersebut telah diwartakan sebagai ladang ternakan ikan tersebut.
"Kawasan ini terkenal sebagai pusat ternakan ikan kelisa kerana kesesuaian airnya dengan pH antara 6.8 dan 7.4 dari tasik berhampiran,'' katanya sambil menjelaskan kesemua kawasan ternakan pada asalnya merupakan bendang sawah.
Ismail, anak jati Alor Pungsu, berhampiran kawasan Bukit Merah menceritakan, penglibatannya sebenarnya bertitik tolak daripada pengalamannya sejak kecil iaitu pada 1987 yang sering mencari ikan di Sungai Kerian.
Sehinggalah pada tahun lepas, dia menyambung minatnya meskipun terlibat dengan beberapa pekerjaan lain.
Ismail memberitahu, dia bermula secara serius setelah mengambil kira potensi industri tersebut yang berpotensi dikembangkan dan menjana usahawan tempatan.
Selepas berusaha dengan modal permulaan RM80,000 dengan berniaga menjual induk ikan kelisa, Ismail mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan lagi projek ternakannya.
Katanya, ikan arowana bagaikan emas berenang dan membiak untuk menjana pendapatan. Dalam tempoh lima bulan sahaja terlibat dalam perdagangan induk, dia mampu menjana pendapatan lumayan
"Satu ketika saya mengalami kerugian kerana masalah yang tidak dijangka tetapi tidak mematahkan semangat,'' katanya.
Dia membuka kolam ternakan dan menawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, dan pada masa sama masih menjual induk ikan.
Pakej yang ditawarkannya tidak begitu membebankan iaitu seorang pelabur ditawarkan induk ikan arowana emas (Malaysia Gold atau spsies lain seperti high back dengan 20 induk setiap satu pakej.
Ketika ini, syarikat berkenaan menawarkan 30 buah kolam atau 30 pakej manakala fasa kedua akan menyusul yang menawarkan 70 buah kolam.
Setiap pakej menawarkan kontrak lima tahun dengan penyelenggaraan dan makanan dibiayai oleh syarikat.
Kata Ismail, hasil anak akan dipawah 50 peratus untuk syarikat dan 50 peratus lagi untuk pelabur
"Ketika ini saya menguruskan kolam yang bernilai RM4 juta," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat membantu terutama dalam memberi insentif memajukan industri tersebut, khususnya dalam bidang penyelidikan atau pembiakbakaan.
Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, mana-mana pengusaha yang berminat menjalankan penyelidikan boleh memohon di bawah geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan,
"Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan termasuk universiti untuk tujuan ini,''katanya.
Ikan arowana katanya merupakan komoditi yang unik terutama Malaysian Gold kerana ia satu-satunya spesies di dunia.
Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengenai tiga komoditi di beri tumpuan menjadikannya industri yang semakin popular.
"Potensinya memang besar sebab itu ramai yang menyatakan minat melabur tetapi kita (Jabatan Perikanan) menasihati mereka supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelaburan yang tidak meyakinkan,'' katanya.
Junaidi berkata, akan ada pihak mengambil kesempatan menipu orang awam dengan menawarkan pakej menerusi seminar sedangkan mereka mungkin tidak memiliki kolam sekali pun.

"Tawaran pakej BMA (Bukit Merah Aquaculture) memang baik sebab mereka ada ladang dan kolam,'' katanya.
Beliau mengingatkan demikian kerana ada kes pengusaha rumpai laut yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej tetapi sebaliknya tidak wujud sedangkan ada peserta telah melabur.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_02.htm
 

Friday, March 12, 2010

My Little Showrom - New Arrangement

Assalamualaikum wm wbkh!

Kami paparkan susunan baru 'showroom' kecil kami yang bertempat di rumah di Taman Melati, Setapak.

Tangki-tangki fiber tersusun di ruangan belakang berhampiran ruangan dapur rumah


Tangki fiber mengandungi Arowana MG Crossback

Akuarium mengandungi Arowana High Back bersaiz kira-kira 16 inci dan berusia kira-kira 18 bulan


TIPS OF THE DAY ... Penjagaan Anak-anak Arowana Kecil Lepas 'York'

Assalamualaikum wm wbkh!
Berikut adalah tips-tips yang diberikan oleh seorang orang lama yang berkecimpung secara aktif dalam industri penternakan dan perdagangan (trading) arowana mengenai penjagaan anak-anak arowana kecil yang baru lepas 'york' (bersaiz 2.5 ke 3 inci) :

Tip 1 - Cuci sistem penapisan air setiap hari
Tip 2 - Ganti sebahagian air sekurang-kurangnya sekali dalam 2 hari

Tips ini paling mustahak diikuti sekiranya terutamanya bila terdapat berpuluh-puluh ekor anak-anak dipelihara di dalam satu akuarium. Ini kerana air lebih cepat dikotori oleh bahan-bahan buangan anak-anak ikan tersebut.
Sekian.. semoga dapat memberi menafaat kepada sesiapa yang baru berkecimpung dalam bidang ini.

Assalamualaikum wm wbkh!

Wednesday, March 10, 2010

Jualan Borong Sulung ....

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua ...
Semalam 9 hb Mac, saya sekali lagi ke Bukit Merah kerana menguruskan penjualan anak-anak arowana high back yang bersaiz kira-kira 3 inci. Ikan-ikan ini adalah keluaran kolam MU Arowana kepunyaan En. Fadil. Hubungan perniagaan yang rapat antara kami (saya dan rakan bernama Hamdan Ismail) membolehkan kami mendapat bekalan anak-anak arowana ini secara berkala dari En. Fadil. Kami diberi keistimewaan dalam mendapatkan bekalan benih-benih arowana ini, walaupun dalam keadaan sekarang di mana bekalan adalah sangat berkurangan. Maklumlah rakan saya itu telah melabur hampir RM1juta dan kini mempunyai 4 buah kolam di sana.

Sehingga semalam, saya mempunyai 47 ekor anak-anak high back yang masih berada di nursery MU Arowana, dan saya bercadang membawa balik ke rumah di KL pada minggu hadapan. Bagaimana pun, oleh kerana terdapat permintaan, maka saya bersetuju menjualnya walaupu pada harga yang agak rendah sedikit. Saya menjual secara borong kesemua anak-anak high back tersebut kepada seorang pengusaha 'nursery' arowana (iaitu seorang grower arowana) dari Pulau Pinang dengan harga kira-kira RM600 seekor. Ini merupakan jualan borong sulung bagi saya dan keuntungannya adalah sangat lumayan. Dengan keuntungan tersebut, saya berjaya menampung sebahagian kerugian yang dialami sebelum ini akibat kematian anak-anak arowana kecil yang pertama kali saya cuba bela di rumah.

Anak-anak arowana high back bersaiz kira-kira 3 inci yang telah kami jual semalam

Alhamdulillah... saya bertambah yakin dengan perniagaan arowana ini. Nampaknya ia mempunyai masa depan yang cerah, InsyaAllah.

Monday, March 8, 2010

Arowana Banjar Red

Assalamualaikum wm wbkh!
Berikut ini adalah beberapa gambar-gambar Arowana Banjar Red untuk tatapan pengunjung semua.



Sunday, March 7, 2010

Jualan Sulung Kami

Assalamualaikum wm wbkh!
Semalam 6 Mac 2010, saya menerima kunjungan beberapa orang peminat arowana dari sekitar Lembah Klang. Ia merupakan hari yang sangat menggembirakan saya, dan dalam masa yang sama, sangat memenatkan juga. Alhamdulillah....saya berjaya menjual 2 ekor arowana 'super high back' bersaiz antara 5 dan 6 inci dengan harga antara RM1ribu dan RM1,250 seekor. Salah seekor dibeli oleh seorang peminat berbangsa Cina dari Cheras, manakala seekor lagi oleh peminat berbangsa Melayu dari Shah Alam.

Ini merupakan jualan pertama saya, dan Alhamdulillah saya berjaya membuat sedikit keuntungan. Ini semacam memberi suatu dorongan kepada saya untuk terus bergiat dalam bidang penternakan arowana ini.