Monday, April 5, 2010

TIPS OF THE DAY - Penggunaan Anti-Klorin Dan Bakteria Baik (EM) Dalam Penternakan Arowana

Assalamualaikum wm wbkh!

Anti-klorin
Untuk pengetahuan pengunjung-pengunjung blog ini yang baru berkecimpung dalam dunia penternakan ikan hiasan terutamanya arowana, penggunaan anti-klorin dalam air akuarium bukanlah sesuatu yang wajib. Sekiranya saudara-saudari menggunakan air paip, adalah lebih baik menakung air selama beberapa hari, seterusnya menggunakan air yang ditakung ini untuk menukar air akuarium ikan hiasan anda. Tidak perlu lagi dimasukkan anti-klorin, kerana air yang ditakung sudah hilang kesan klorinnya.


Bakteria Baik atau EM (Effective Microorganisms)
Satu lagi amalan baik yang sangat disyorkan dalam penternakan arowana adalah penggunaan 'bakteria baik', terutama untuk membela anak-anak arowana yang masih kecil. Bakteria baik tidak memudaratkan ikan hiasan anda bahkan mampu melawan bakteria jahat yang berkembang biak di dalam air akuarium.

Bakteria baik boleh dibeli di mana-mana kedai akuarium. Ia seharusnya dibela di dalam tangki atau akuarium takungan air  khas selama beberapa minggu. Masukkan bakteria baik mengkut kuantiti yang disyorkan oleh pengilang ke dalam tangki takungan atau akuarium khas anda. Selepas 3 hingga 4 minggu, bakteria baik sepatutnya sudah berkembang di dalam tangki takungan tadi. Air dari tangki ini yang mengandungi bakteria baik tersebut bolehlah digunakan untuk menggantikan air akuarium anda.

Amalan di atas disyorkan oleh sifu-sifu yang sudah lama bergiat dalam penternakan arowana. Saya pernah  mengamalkan penggunaan bakteria baik sebelum ini dan Alhamdulillah... kesannya sangat positif.

Selamat mencuba....

Kemaskini 6 April 2010
Penggunaan "bio rings" dan "bio balls" dapat membantu pembiakan bakteria baik, kerana kedua-duanya adalah seumpama rumah bagi bakteria baik hidup dan membiak.

Wallahua'alam...


 
Sedikit Tambahan atas permintaan beberapa orang pengunjung ke blog ini

Salah satu jenama Bakteria Baik di dalam pasaran adalah OCEAN FREE Bacteria Battle 8000 yang dijual di dalam botol 250ml. Ia boleh digunakan untuk kuantiti air 10500 liter.

Sekiranya anda menakung air di dalam akuarium bersaiz 4 kaki x 2 kaki x 2 kaki, kuantiti air yang anda takung adalah seperti kiraan berikut:

Mengambil kira bahawa 1 kaki bersamaan dengan kira-kira 30cm atau 0.3m, maka:
4ka x 2ka x 2ka
= (4x0.3)m x (2x0.3)m x (2x0.3)m
= 1.2m x 0.6m x 0.6m
= 0.432 meter padu

1 meter padu bersamaan dengan 1000 liter
Jadi,
0.432 meter padu bersamaan dengan 432 liter atau 432 L

Sekiranya tangki akuarium anda diisi penuh, kuantiti air yang ditakung adalah 432 L.

Cecair bakteria baik jenama di atas boleh digunakan dengan kadar  berikut:
10500 L air perlukan 250ml bakteria baik

jadi,
432 L air perlukan 432 x (250/10500) = 10 ml

Jadi, anda hanya memerlukan 10 ml cecair bakteria baik untuk dimasukkan ke dalam akuarium takungan air berisi 432 liter air.


Nota: Penggunaan bakteria baik hanya disyorkan sekiranya anda jarang menukar air akuarium anda. Bakteria baik mengambil masa berminggu-minggu untuk membiak. Sekiranya anda kerapa menukar air, bakteria baik akan hilang bersama air yang ditukar.




10 comments:

  1. Assalammualaikum kepada pembaca, di sini saya hendak berkonsi dengan anda semua. Pilihan saya ialah Otto PSB Bacteria boleh didapati dlm 250,500,1000 dan 2000ml. Tetapi Bakteria Baik atau Cecair Nitrogen Cycle tidak boleh dicampur dengan produk lain ke dalam filter kerana bimbang saiz bakteria tidak sama. Dalam pengalaman lebih 8 tahun dalam peliharaan arowana, untuk menyelenggara akuarium baru harus dibiar dalam 3 hari sebelum memasuki ikan peliharaannya, supaya bakteria dapat membiak di dalam filter (bacteria house). Tetapi harus diingat filter seperti cotton wool atau apa-apa jenis cotton filter termasuk ceramic rings jangan sesekali basuh dengan air paip ini akan mengakibatkan bacteria tersebut akan lupus. Jika hendak basuh,cuci dengan air dari akuarium semasa hendak menukar air. Dari segi teknik menukar air di akuarium pula, bagi saya untuk pelihara arowana jenis M'sia Golden,XBack Golden atau Bluebase tukar seminggu sekali sahaja sebanyak 20-25% manakala jenis Super Red tukar 2 minggu sekali. Kerana kedua-dua jenis tersebut berlainan dari segi keadaan air. Jenis Golden amat menyukai air yg baru menyebabkan pH kekal 7+ manakala jenis Red suka air yg lama menyebabkan pH turun hingga bacaannya 6. Untuk penggunaan anti-klorin bagi pandangan saya, tidak semestinya tidak pakai anti-klorin apabila air paip di tangki di simpan lama. Sejenis cecair anti-klorin bukan setakat membuang klorin sahaja malah bertindak sebagai membuang racun atau toksik, logam, patogen bakteria, makhluk hidup yang tersembunyi dan ketidakstabilan di dalam air, jika keadaan ini tidak diperhatikan, symtoms serius boleh berlaku, contohnya, ikan boleh kehilangan keseimbangan, bawah lieon atau sirip ikan mungkin bersarang di tubuh ikan. Saya di rumah menggunakan air penapis turut menggunakan anti-klorin dari produk Otto Aqua Safety.

    ReplyDelete
  2. Saya ingin menambah sedikit untuk berkongsi pengetahuan dgn semua pembaca. PSB Bakteria atau Photosynthesis Bakteria dihasilkan dari persekitaran alam dan tidak tercemar mengandungi bakteria Nitrosomonas dan Nitrobacter. Ia bertindak sebagai agen pembuang toksik yg dihasilkan oleh ikan terutamanya jenis arowana yg banyak mengeluarkan toksik (karnivor atau pemakan daging). Dengan itu bakteria jenis Nitrosomonas bertindak menukarkan ammonia HH3 & NH4 yg dihasilkan oleh ikan ke nitrite NO2. Nitrite ini lebih toksik dari ammonia boleh menyebabkan kematian. Bakteria yg terakhir ialah Nitrobacter bertinddak menukarkan dari nitrite tadi ke nitrate NO3, nitrate ini pula ialah gas yg terakhir akan menjadi baja kepada tumbuhan2 air atau teknik menukar air. Jika benda ini berterusan akan menjadi kitaran Nitrogen sama seperti di alam semulajadi. Sekian terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wm wbkh!
    En.Ahmad,
    terima kasih krn mengunjungi blog kami dan memberikan komen-komen dan petua-petua yang berguna. Saya pasti sumbangan dari orang seperti tuan yg telah lama berkecimpung dlm bidang pembelaan arowana ini akan memberi menafaat kepada semua pengunjung blog ini. Adalah menjadi harapan saya agar blog ini dapat menjadi platform bagi peminat2 arowana berkongsi ilmu dan berdikusi mengenai pembelaan arowana, masaalah-masaalah yang biasa dihadapi serta teknik-teknik untuk mengatasinya.

    ReplyDelete
  4. Saya ingin meminta pandangan En. Ahmad mengenai kaedah yang saya amalkan kini tentang air paip yang ditakung.

    Saya menakung air paip di dalam tangki bersaiz kira-kira 4 x 2.5 x 2 kaki padu, dan memasukkan 1 kg garam serta membiarkan air tersebut selama 1 hari. Tangki tersebut dilengkapi pam air dan filtration system yang mengandungi bio-rings. Saya tidak memasukkan anti-klorin kerana berharap klorin serta sisa-sisa logam berat yang ada dalam air tersebut akan hilang kesan buruknya apabila ditakung dan dibubuh garam serta diproses oleh filtration system. Selepas itu saya masukkan bakteria baik serta membiakkannya di dalam tangki tersebut.

    Selepas 4 hingga 5 hari barulah saya menggunakan air tersebut untuk menggantikan air media arowana. Saya mengeluarkan kira-kira 50% air asal dan menggantikannya dengan 50% air yang ditakung tadi.

    Amalan ini telah saya lakukan selama beberapa bulan dan kesannya nampaknya amat baik pada ikan-ian arowana peliharaan saya.

    Mohon komen dan nasihat dari tuan...
    Salam..

    ReplyDelete
  5. Walaikummussalam, Saya mengucap berterima kasih kpd pihak AsSakinah kerana memberi peluang untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai Arowana kepada semua pembaca di sini. Mengenai pihak encik cara menyelenggaraan akuarium atau tangki seperti disebut di atas bagi saya takde masalah selagi arowana itu mempunyai selera makan yang stabil. Tapi bacaan carta mesti 0mg/l untuk ammonia dan nitrie NO2 manakala nitrate NO3 pula jangan melebihi bacaan 25mg/l. Penguji tahap air atau water test kit boleh didapati di mana2 kedai akuarium. Jenama produk API adalah antara yang terbaik tetapi sebelum ni saya ada juga menggunakan produk JBL tapi kurang tepat pada bacaannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aslkm...nak tanya tuan..saya ni peminat ikan mas koki..saya beoa dlm akuarium 2x1"..agak2 berapa ye jumlah ml anti bacteria yg di perlukn..sorry ye menyampuk..hehe

      Delete
  6. Terima kasih En. Ahmad, InsyaAllah saya akan dapatkan water test kit secepat mungkin. Saya amat berbesar hati dengan kunjungan serta sumbangan En. Ahmad kepada blog ini. Terima kasih lagi sekali.

    ReplyDelete
  7. mcm mane nk hilangkn selaput putih pada arowana saya,,,ada sikit je kt tgh mata,,

    ReplyDelete
  8. Hj. Suhaimi AssakinahJuly 15, 2014 at 10:51 AM

    Masukkan garam dapur ke dlm air akuarium. Garam dpt membunuh bakteria. Utk akuarium bersaiz 4x2 kaki, sekampit kecil garam kasar seberat 300gram sudah mencukupi

    ReplyDelete
  9. Hi. Saya ingin bertanya. Ikan saya mengalami white spot. Saya asingkan mereka dan mencuci akuarium. Fan meletakan air paip serta anti klorin dan ubat biru. Setelah beberapa jam kemudian. Saya meletakkan ikan saya ke dalam akuarium. 1 hari kemudian ikan saya semua mati. Macam mana cara nak mengelakkan whitr spot tersebut ya

    ReplyDelete