Thursday, April 29, 2010

MATA JULING (EYE DROOP)

Assalamualaikum wm wbkh...
Fenomena mata juling ke bawah, atau lebih dikenali dengan "mata jatuh" atau dalam bahasa inggerisnya "eye droop" adalah keadaan di mana salah satu mata (atau kadang-kadang kedua-dua belah mata) arowana kelihatan memandang ke bawah sentiasa.
Ia bukanlah suatu penyakit bawaan bakteria atau sebagainya, dan tidaklah merbahaya kepada arowana tersebut. Walau bagaimanapun, dari sudut kecantikan, nilainya jatuh dan tidak disukai oleh para hobbyist.

Sebab-sebab berlakunya mata jatuh
Berbagai hipotesis dikemukakan oleh penggemar arowana tentang sebab-sebab berlakunya "mata jatuh" ini. Antaranya adalah :
1. disebabkan pemakanan tertentu seperti palet (butiran) yang agak keras
2. disebabkan oleh pemakanan ulat 'super worm' berlebihan yang menyebabkan lemak berlebihan terkumpul di bahagian atas mata, lalu menyebabkan bola mata tertolak ke bawah seterusnya menjadi juling. Ini mungkin suatu fakta kerana super worm dikatakan mempunyai kandungan lemak yang tinggi.
3. disebabkan oleh pemakanan seperti udang (yang kebiasaannya bermain di dasar akuarium), menyebabkan arowana selalu memandang ke bawah semasa mencari makanan.
4. kedudukan tangki akuarium yang tinggi menyebabkan arowana asyik memandang ke luar akuarium ke arah bawah, terutamanya apabila terdapat objek di luar akuarium yang menarik perhatian arowana tersebut.
5. dan spelbagai sebab lain.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya, pemberian udang sebagai makanan tidak menjadi punca kepada masaalah ini. Sebaliknya, kedudukan akuarium yang tinggi di mana ia menggalakkan arowana asyik memandang keluar akuarium ke arah bawah boleh menjadi salah satu puncanya. Dari  pembacaan saya pula, seorang penulis buku berkenaan arowana telah menjalankan eksperimen dan berjaya membuktikan bahwa "mata jatuh" adalah disebabkan oleh arowana memakan makanan keras seperti palet. Jadi, elakkan dari memberi makanan palet atau butiran kepada arowana anda. Pemberian super worm berlebihan juga terbukti boleh menyebabkan mata jatuh, berdasarkan pengalaman saya sendiri serta rakan-rakan penggemar arowana yang lain.

Bagaimana merawat mata juling
Kebanyakan penggemar arowana serta penulis buku berkenaan ikan peliharaan ini berpendapat bahawa keadaan mata juling hanya dapat dirawat melalui pembedahan kecil.

Bagaimanapun, sekiranya ia berlaku pada arowana yang masih muda, kaedah melatih pemandangannya mungkin dapat membantu matanya pulih kembali tanpa perlu melalui pembedahan. Memasukkan objek terapung yang dapat menarik perhatian arowana dan menariknya untuk sentiasa memandang ke atas dapat membantu. Contohnya, meletakkan superworm di dalam bekas transparent dan membiarkannya terapung di dalam akuarium.

Begitu juga, penggunaan objek berwarna  terang (seperti bola pingpong berwarna oren/merah) mungkin juga dapat membantu. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri di mana saya mempunyai seekor MG Crossback yang berusia kira-kira 8 bulan dan bersaiz kira-kira 8 inci. Saya memeliharanya bersama 4 ekor arowana lain di dalam sebuah tangki fiber bertingkap kaca yang diletakkan di atas sebuah 'stand' setinggi kira-kira 3 kaki dari lantai.

Pada suatu ketika, saya dapati matanya mulai juling ke bawah. Menyedari hal ni, saya mengalihkan tangki fiber tersebut dan meletakkannya di atas lantai. Saya juga menutup bahagian bawah tingkap kaca tangki tersebut dengan 'sticker'. Tujuan saya adalah supaya arowana tersebut tidak dapat memandang keluar ke arah bawah, sebaliknya matanya terpaksa memandang ke arah atas apabila melihat orang lalu lalang. Selepas melatihnya dalam keadaan begini selama kira-kira  2bulan, saya dapati matanya beransur pulih dan tidak lagi kelihatan terlalu juling.... Alhamdulillah...

Walau bagaimanapun, rawatan seperti ini mestilah dilakukan secara berterusan. Jika tidak, mata arowana akan kembali juling ke bawah semula.
\

Monday, April 26, 2010

MaklumBalas Lanjutan Mengenai Penggunaan AntiKlorin dan Bakteria Baik (EM)

Assalamualaikum wm wbkh!

Saya telah memuatkan beberapa penjelasan lanjut mengenai topik di atas yang amat berguna kepada mereka yang berminat untuk berkecimpung dengan lebih mendalam dalam bidang pemeliharaan arowana. Penjelasan ini diberikan oleh En. Ahmad Azrai, seorang yang saya anggap 'sifu' dalam bidang ini.

Pengunjung yang berminat mengenai topik ini, sila klik link di bawah:

http://arowana-assakinah.blogspot.com/2010/04/tips-of-day-penggunaan-anti-klorin-dan.html

Pengunjung boleh mengutarakan persoalan dan komen lanjutan di  link di atas.

Tuesday, April 6, 2010

TIPS OF THE DAY - Penggunaan "Corals" (Batu Karang)

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua!
Tahukah anda bahawa penggunaan "corals" dalam akuarium anda akan menyebabkan pH air menaik? "Corals" merupakan bahan beralkali dan sekiranya dimasukkan ke dalam akuarium, air akuarium akan menjadi lebih beralkali, menyebabkan petunjuk pHnya naik melebihi 7.

Tahap pH air yang sesuai bagi membela arowana adalah sekitar 7 iaitu neutral. Arowana akan berada dalam persekitaran yang selesa sekiranya air akuarium adalah neutral.

Sedikit ulangkaji:
Nilai pH :
0 hingga 7 - asid
7 - Neutral
7 hingga 14 - alkali

Anda seharusnya menguji tahap pH air akuarium anda sebelum menggunakan "corals". Sekiranya bacaan pH adalah di bawah 7, misalnya 5, anda digalakkan memasukkan "corals" ke dalam blok filter akuarium untuk membantu pH supaya mencapai tahap neutral, iaitu 7.

Walau bagaimanapun, sekiranya pH air sudah berada di sekitar 7 atau lebih tinggi, penggunaan ""corals" adalah tidak wajar sama sekali.

Monday, April 5, 2010

TIPS OF THE DAY - Penggunaan Anti-Klorin Dan Bakteria Baik (EM) Dalam Penternakan Arowana

Assalamualaikum wm wbkh!

Anti-klorin
Untuk pengetahuan pengunjung-pengunjung blog ini yang baru berkecimpung dalam dunia penternakan ikan hiasan terutamanya arowana, penggunaan anti-klorin dalam air akuarium bukanlah sesuatu yang wajib. Sekiranya saudara-saudari menggunakan air paip, adalah lebih baik menakung air selama beberapa hari, seterusnya menggunakan air yang ditakung ini untuk menukar air akuarium ikan hiasan anda. Tidak perlu lagi dimasukkan anti-klorin, kerana air yang ditakung sudah hilang kesan klorinnya.


Bakteria Baik atau EM (Effective Microorganisms)
Satu lagi amalan baik yang sangat disyorkan dalam penternakan arowana adalah penggunaan 'bakteria baik', terutama untuk membela anak-anak arowana yang masih kecil. Bakteria baik tidak memudaratkan ikan hiasan anda bahkan mampu melawan bakteria jahat yang berkembang biak di dalam air akuarium.

Bakteria baik boleh dibeli di mana-mana kedai akuarium. Ia seharusnya dibela di dalam tangki atau akuarium takungan air  khas selama beberapa minggu. Masukkan bakteria baik mengkut kuantiti yang disyorkan oleh pengilang ke dalam tangki takungan atau akuarium khas anda. Selepas 3 hingga 4 minggu, bakteria baik sepatutnya sudah berkembang di dalam tangki takungan tadi. Air dari tangki ini yang mengandungi bakteria baik tersebut bolehlah digunakan untuk menggantikan air akuarium anda.

Amalan di atas disyorkan oleh sifu-sifu yang sudah lama bergiat dalam penternakan arowana. Saya pernah  mengamalkan penggunaan bakteria baik sebelum ini dan Alhamdulillah... kesannya sangat positif.

Selamat mencuba....

Kemaskini 6 April 2010
Penggunaan "bio rings" dan "bio balls" dapat membantu pembiakan bakteria baik, kerana kedua-duanya adalah seumpama rumah bagi bakteria baik hidup dan membiak.

Wallahua'alam...


 
Sedikit Tambahan atas permintaan beberapa orang pengunjung ke blog ini

Salah satu jenama Bakteria Baik di dalam pasaran adalah OCEAN FREE Bacteria Battle 8000 yang dijual di dalam botol 250ml. Ia boleh digunakan untuk kuantiti air 10500 liter.

Sekiranya anda menakung air di dalam akuarium bersaiz 4 kaki x 2 kaki x 2 kaki, kuantiti air yang anda takung adalah seperti kiraan berikut:

Mengambil kira bahawa 1 kaki bersamaan dengan kira-kira 30cm atau 0.3m, maka:
4ka x 2ka x 2ka
= (4x0.3)m x (2x0.3)m x (2x0.3)m
= 1.2m x 0.6m x 0.6m
= 0.432 meter padu

1 meter padu bersamaan dengan 1000 liter
Jadi,
0.432 meter padu bersamaan dengan 432 liter atau 432 L

Sekiranya tangki akuarium anda diisi penuh, kuantiti air yang ditakung adalah 432 L.

Cecair bakteria baik jenama di atas boleh digunakan dengan kadar  berikut:
10500 L air perlukan 250ml bakteria baik

jadi,
432 L air perlukan 432 x (250/10500) = 10 ml

Jadi, anda hanya memerlukan 10 ml cecair bakteria baik untuk dimasukkan ke dalam akuarium takungan air berisi 432 liter air.


Nota: Penggunaan bakteria baik hanya disyorkan sekiranya anda jarang menukar air akuarium anda. Bakteria baik mengambil masa berminggu-minggu untuk membiak. Sekiranya anda kerapa menukar air, bakteria baik akan hilang bersama air yang ditukar.