Saturday, January 30, 2010

My Little Showroom

Assalamualaikum wrm wbkh..

Saya tontonkan gambar-gambar di sudut ruangan belakang rumah saya yang kini bertukar menjadi "Mini showroom" arowana.


Keadaan sebelum ruangan ini bertukar menjadi "mini showroom". Tangki fiber yang baru tiba beberapa hari lalu hanya dilonggokkan sahaja di suatu sudut buat sementara waktu

Persediaan awal - tangki fiber diisi penuh dengan air serta dimasukkan kira-kira 5kg garam kasar untuk menghilangkan toksik. Ia dibiarkan dalam keadaan begini selama satu hari satu malam



Setelah empat buah tangki fiber siap dicuci dan dibiarkan berendam air garam selama satu hari satu malam, kerja-kerja menyusun di ruangan bahagian belakang rumah saya bermula




Beginilah keadaan "mini showroom" arowana saya. Ruangan tempat kami biasa makan-makan kini menjadi semakin sempit sekarang kerana sebahagian besar ruang telah bertukar menjadi showroom

Arowana High Back Golden saya.... menyusur di dalam akuarium ini dengan gahnya


Terimakasih kepada isteri tercinta kerana membenarkan saya menggunakan sebahagian besar ruangan bahagian belakang rumah saya ini, yang asalnya ruang makan, untuk dijadikan "showroom" serta tempat pembelaan arowana.  Juga terimakasih kepada kedua-dua anak lelaki kerana membantu mengangkat dan menyusun tangki-tangki fiber tersebut. Jazakumullahu khairan....

Tugas seterusnya adalah menyediakan penutup tangki fiber dari bahan yang sesuai, memasang sistem paip serta sistem pam dan lampu.


 

Lawatan Susulan Ke Alor Setar - Mempelajari Teknik Membesarkan Arowana Golden head

Assalamualaikum w.w.
Semalam, Khamis 28 januari 2010 jam 8pagi, saya bersama rakan Hamdan Ismail bertolak menuju ke Alor Setar. Lawatan bertujuan untuk menziarahi dua orang penternak arowana iaitu En. Din dan Cikgu Imran, kedua-dua tinggal di sekitar Simpang Kuala.

Kami singgah di rumah En. Din terlebih dahulu dan melihat stok ikan arowana yang ditawarkan untuk jualan. Beliau mempunyai 5 ekor Golden Head yang baru tiba, beberapa ekor MG dan juga High Back. Saya melihat tangki-tangki fiber yang memenuhi ruangan atas rumah beliau serta memerhatikan teknik-teknik penggunaan cahaya lampu terang untuk menaikkan ('stimulate') warna anak ikan arowana.

En. Din merupakan seorang pengusaha nursery pokok-pokok bunga dan hiasan, dan melibatkan diri dalam industri ikan hiasan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Seterusnya kami menuju ke rumah Cikgu Imran. Saya sebenarnya baru mengenali Cikgu Imran beberapa hari sebelum itu, di mana beliau ada menghubungi saya untuk membeli 'nipple drinker' bagi ladang kambing jamnapari beliau. Kedatangan saya di samping ingin melihat arowana Golden Head beliau, juga sebenarnya bertujuan menghantar 'nipple drinker' yang telah beliau order dari saya.

Cikgu Imran membela ikan arowana di rumah teres bersebelahan tempat tinggal beliau. Menurutnya, kedua-dua rumah tersebut  telah dibelinya dan salah sebuah digunakan khusus untuk penternakan arowana. Sepanjang berada di rumah beliau, kami mendengarkan penerangan dari Cikgu Imran tentang teknik pembelaan arowana Golden Head serta penjagaan kesihatan anak-anak arowana. Tanpa rasa kedekut, beliau menerangkan tentang ubat-ubat dan rawatan yang dijalankan beliau bagi anak-anak arowana. Juga beliau menerangkan penggunaan tangki fiber berwarna putih dan teknik pencahayaan lampu bagi mengeluarkan warna emas ikan arowana terutamany Golden Head.

Susunan fiber tanks mengandungi arowana di 'rumah kedua' Cikgu Imran yang dijadikan 'showroom' serta pusat belaan anak-anak arowana Golden Head sehingga menjadi dewasa dan sesuai di hantar ke kolam pembiakan

Cikgu Imran menerangkan kepada rakan saya Hamdan Ismail tentang penggunaan teknik pencahayaan bagi menaikkan warna arowana Golden Head

UV light (tabung hitam) digunakan untuk tujuan membunuh bakteria di dalam air
Tangki fiber ini menggunakan 3 biji lampu keamatan tinggi

Kumpulan arowana Golden Head bersaiz kira-kira 6 inci yang dibela di dalam tangki fiber bersaiz 4x2x2 kaki padu


Ini pula kumpulan yang bersaiz lebih besar iaitu hampir 1 kaki  dan dibela di dalam tangki fiber yang lebih besar dan bertingkap kaca. Ia menunggu masa untuk dihantar ke kolam pembiakan



Selesai pertemuan dengan Cikgu Imran, kami mengorak langkah bertolak balik ke Kuala Lumpur pada kira-kira jam 7 malam. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Hentian Ulu Bernam pada kira-kira jam 10.30 malam untuk solat Isya' dan maghrib secara jama' taakhir.

Terdapat kemalangan kecil di Lebuhraya PLUS arah ke Selatan sebelum 'exit' Bukit Tagar' di mana Peronda Lebuhraya PLUS membuat sekatan jalan untuk membolehkan lori yang terbabas dialihkan. Malang tidak berbau... sebuah lori gagal berhenti di sekatan tersebut dan menghentam bahagian belakang Nissan Dualis yang kami naiki.  Pintu paling belakang (pintu ke-5) mengalami kerosakan agak teruk, tetapi masih boleh bergerak seperti biasa. Kami terpaksa singgah di Bukit Beruntung untuk membuat lapuran polis tentang kemalangan tersebut. Setelah semuanya selesai, kami bertolak pulang ke KL dan saya tiba di rumah kira-kira jam 3 pagi.

Perjalanan yang agak memenatkan, tetapi sangat berbaloi. Banyak sekali yang saya pelajari dari En. Din dan Cikgu Imran tentang teknik pembelaan dan kaedah rawatan arowana.


Thursday, January 28, 2010

Monday, January 25, 2010

1000 Ekor Anak Kelisa @ Arowana Bernilai RM1.5juta Dicuri Di Bukit Merah

Anak kelisa bernilai RM1.5 juta dicuri


IPOH: Seorang pengusaha ikan kelisa kerugian RM1.5 juta apabila hampir 1,000 anak ikan berkenaan dicuri di ladangnya di Tebuk Pancor, Bukit Merah, Semanggol, 120 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Mat Fauzin Nayan, berkata kejadian disedari pekerja ladang berkenaan pada 8.30 pagi semalam. Katanya, mereka terus menghubungi majikan yang kemudian membuat laporan kepada pihak polis.
"Pengusaha berkenaan mendapati beberapa balang kaca dan akuarium yang mengandungi hampir 1,000 ekor anak ikan bernilai RM1.5 juta telah hilang dan terdapat kesan kawasan ladang itu dicerobohi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Fauzi berkata, anak ikan kelisa yang juga disebut Arowana dijual antara RM2,000 hingga RM5,000 seekor. Beliau berkata, suspek dipercayai lebih dari dua orang memasuki ladang berkenaan dengan kenderaan pada tengah malam.
"Terdapat kesan balang botol pecah dan siasatan awal polis mengenalpasti suspek dipercayai orang dalam," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 357 kerana menceroboh dan memecahkan bangunan. - Bernama

sumber: Berita Harian online http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Mutakhir/20100124191525/Article/index_html


Komen dari saya:
Berdasarkan maklumat yang saya perolehi dari kawan-kawan di Bukit Merah, pusat pembiakan arowana yang mengalami kecurian tersebut adalah BMA Aquaculture, milik En. Mat Don, yang merupakan pengusaha arowana terbesar di Semanggol, Bukit Merah.

Sunday, January 24, 2010

Mengenali Arowana & Species Popular Di Malaysia

Assalamualaikum w.w. semua...

Kenapa pelihara arowana?
Sebab ia mempunyai nilai komersil dan kenaikan harga adalah sangat tinggi bagi setiap inci saiz dibesarkan terutamanya bagi baka yang berkualiti dan bernilai tinggi. Jadi ia bukan sekadar hobi, bahkan memberi pulangan yang tinggi.

Bagaimana arowana boleh mendapat peningkatan harga yang tinggi?
Permintaan dunia terhadap species arowana terutamanya baka golden sangatlah tinggi, terutamanya dari negara seperti China. Malaysia merupakan pengeluar arowana baka golden terbesar dunia, dan sebahagian besar dari pengeluaran anak-anak arowana baka ini diekspot ke luar negara. Hanya sebahagian kecil sahaja dari anak-anak yang dikeluarkan oleh kolam-kolam pembiakan arowana di negara ini yang dijual untuk pasaran tempatan.

Pembeli-pembeli tempatan adalah terdiri dari penggemar-penggemar (hobbyist) dan "growers". "Growers" adalah mereka yang mengusahakan aktiviti membesarkan anak-anak arowana secara serius untuk dijadikan induk. Setelah matang, induk arowana ini dijual pula kepada pengusaha-pengusaha kolam pembiakan. Permintaan terhadap induk arowana yang matang adalah sangat tinggi kerana industri pembiakan arowana kini sedang berkembang pesat di negara kita. Pengusaha-pengusaha kolam giat mengembangkan perniagaan mereka kerana terdapat permintaan ekspot yang tinggi bagi anak-anak arowana yang dikeluarkan.

Banyak kolam-kolam baru dibuka dan orang ramai pula tidak teragak-agak melaburkan wang mereka di dalam industri ini untuk mendapatkan pulangan. Pembukaan kolam-kolam baru menyebabkan  bertambahnya permintaan terhadap induk arowana matang dan ini secara langsung menjana perkembangan industri membesarkan anak-anak arowana oleh para "growers". Industri arowana kini sudah menjadi suatu kitaran perniagaan yang lengkap dan inilah yang menyebabkan industri ini berkembang pesat di negara kita.


Mengenali Bahagian-bahagian Utama Ikan Arowana

Sila klik pada gambar di atas untuk melihat dengan resolusi tinggi

Jenis-jenis Baka Arowana Yang Paling Popular Di Malaysia


A.  "Golden Series"
Malaysia Golden adalah baka arowana yang dikatakan berasal dari Semenanjung Malaysia dan pada suatu ketika dulu banyak terdapat secara liar di Sungai Kerian dan Tasik Bukit Merah. Bagaimana pun baka asal yang hidup secara liar sudah hampir pupus kerana ditangkap oleh penggemar-penggemar arowana, sebahagiannya dijual kepada penggemar-penggemar luar negara manakala sebahagian lagi masih terdapat di kolam-kolam peliharaan arowana seperti di sekitar Tasik Bukit Merah.

Arowana dari baka golden yang boleh didapati hari ini kebanyakannya bukannya merupakan baka Malaysia Golden (MG) tulen, sebaliknya telah dikacuk. Ia boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Golden Head
Arowana Golden Head sebenarnya bukanlah baka Malaysia Golden atau MG tulen. Malah ia adalah baka yang terhasil dari teknologi kacukan (hibrid) di antara baka MG dan baka arowana merah (red arowana). Begitu pun, arowana golden head ini adalah digolongkan dalam famili Golden series. Terdapat "gold ring" atau jalur berwarna emas yang berbentuk seperti cincin melitupi lingkaran luar sisik, yang merupakan kriteria utama MG. Pada arowana golden head, gold ring ini meliputi semua barisan sisik termasuk sisik di paras 6. Walau bagaimanapun, warna emas "gold ring" ini kurang pekat berbanding dengan MG (iaitu less intense). Di samping itu terdapat tompokan emas pada bahagian atas kepala (forehead) juga. Apabila cukup dewasa dan bila dibela di dalam akuarium dengan latarbelakang gelap, warna emasnya kelihatan pekat. Seperti juga MG, salah satu ciri Golden Head adalah kehadiran "chu" yang halus dan tersusun kemas di bawah sirip dorsal fin.

"Chu" atau juga dipanggil "pearlis" adalah merupakan sisik-sisik halus berwarna keemasan yang terdapat pada badan ikan di bahagian bawah sirip atas (dorsal fin). Kehadiran "Chu" adalah merupakan kriteria penting untuk mengkelaskan arowana dan membezakan MG dengan lain-lain baka seperti Golden High Back. Untuk melayakkan sesekor arowana dari baka gold dipanggil MG, ia mestilah mempunyai sekurang-kurangnya sebaris penuh "chu". Sekiranya ia hanya mempunyai beberapa keping 'chu' kasar, arowana ini hanya layak dipanggil Super Highback.

'Chu' atau sisik halus keemasan di bawah 'dorsal fin' pada arowana Malaysia Gold (MG). Kelihatan chu yang halus dan tersusun rapi pada arowana ini

Chu pada arowana MG 24K

 MG ini dipanggil Golden Head sekiranya  terdapat tompokan emas yang bersaiz besar di bahagian kepala (gold helmet). Walau bagaimanapun, anak arowana ini hanya mempunyai tompokan kecil emas dania tidak layak dipanggil GH. Tompokan emas di kepala seperti ini boleh hilang selepas beberapa minggu dimasukkan ke dalam akuarium berlatarbelakang gelap.

Anak GH ini mempunyai kira-kira 50% gold helmet dan kualitinya dikira baik.

Arowana GH ini berkualiti tinggi di mana hampir keseluruhan bahagian kepala dilitupi emas (full helmet) Warna sisik kebiruan menunjukkan ia dari jenis 'bluebase'


Arowana Golden Head yang berkualiti tinggi merupakan baka termahal dalam species Malaysia Golden. Ia matang dan mula membiak selepas usia 3 tahun. Adalah dikatakan bahawa Arowana Golden Head dihasilkan melalui proses kacukan (crossbreed) beberapa peringkat antara baka MG dengan Blood Red oleh pengusaha-pengusaha arowana Singapura yang kemudiannya mengkomersilkan baka ini.

Proses kacukan peringkat 1 antara MG dan Blood Red menghasilkan arowana 'Tong Yan'. Proses kacukan antara 'Tong Yan' dan MG yang berulangkali akhirnya menghasilkan baka Golden Head.


2. Cross Back
Baka kedua termahal dalam species arowana Malaysia adalah MG Crossback. Rupanya kelihatan seperti Golden Head dengan kehadiran chu yang halus dan tersusun rapi, tetapi kepala tidak mempunyai tompokan emas. Selain itu, satu lagi perbezaan antara Golden Head dan Crossback adalah warna emas "gold ring" pada Crossback adalah lebih pekat (very intense). Ini adalah kerana pada GH, kepekatan warna semakin pudar kerana ia dikacuk dengan arowana merah.
Arowana GH ini juga merupakan crossback yang berkualiti kerana sisik emas di baris ke-6 iaitu di atas belakang bercantum dan sisik emasnya pula tipis (tajam)
Pandangan lebih dekat menunjukkan sisik emas yang tipis bercantum di baris ke-6 (atas belakang)

Arowana di atas pula merupakan seekor MG Crossback yang berkualiti rendah kerana sisik emas yang tebal (tidak tajam)

Kelihatan hujung sisik pada semua barisan disaluti "ring" emas termasuk pada sisik barisan ke 6 (barisan sisik atas belakang). Oleh kerana warna emas sudah "cross" sampai ke barisan sisik atas belakang, ia dipanggil CrossBack.

MG Crossback 24K
Warna emas yang sangat terang dan menyerlah pada MG 24K
Chu yang halus dan tersusun rapi pada MG 24K ini

Untuk menyerlahkan warna emas 24K, biasanya MG 24K diletakkan dalam akuarium berlatarbelakang putih


"Chu" yang berkualiti rendah di mana susunan kurang rapi (barisan "chu" tidak lurus) pada bahagian arowana MG ini. Kualiti MG ini dikira sederhana, mungkin boleh dikelaskan sebagai Gred A atau AA, bergantung pada faktor-faktor yang lain lagi.

Arowana MG ini pula mempunyai 2 baris chu yang lengkap, tetapi saiz chu tidak seragam di mana chu halus dan kasar bercampur di dalam satu baris. Kualiti MG ini adalah lebih rendah dari yang di atas.


Baka Crossback juga matang dan membiak selepas usia 3 tahun.


3. Malaysia Golden (MG)
Perbezaan antara MG biasa dan MG Cross Back adalah terlalu kecil, iaitu bagi MG warna emas tidak meliputi keseluruhan "ring" pada sisik baris ke-6 (barisan sisik atas belakang). Bila dilihat dari atas, kelihatan jalur berwarna hitam di sepanjang sisik atas belakang. Chu juga terdapat pada MG, seperti yang terdapat pada Cross Back dan Golden Head, malah chu merupakan kriteria utama bagi MG. Baka MG yang berkualiti tinggi mempunyai chu yang halus dan tersusun rapi, samaada 2 atau 3 baris.

Kriteria utama baka MG dapat diringkaskan seperti berikut:
i.    Warna emas yang pekat pada gold ring
ii.   Gold ring meliputi sisik di paras 5.5
       (iaitu sehingga sebahagian dari sisik pada paras 6) apabila matang
iii.  Chu yang halus pada bahagian badan di bawah sirip dorsal
iv.  Chu yang halus juga terdapat pada pada bahagian bawah badan, di atas sirip "anal"


4. Golden High Back
Golden High Back adalah merupakan baka kacukan (hibrid) di antara pejantan MG dan induk Red Tail Golden (RTG) dari Indonesia. "Ring" berwarna emas terdapat pada pada sisik sehingga ke barisan ke 4 dan ke 5. Baka ini kadang-kadang dipanggil High Back RTG (HBRTG).

Walau bagaimanapun, ada juga baka golden highback yang dihasilkan melalui proses kacukan antara MG dan baka-baka lain seperti banjar red atau hijau. Proses kacukan ini selalunya melalui beberapa peringkat sebelum terhasilnya baka yang berkriteria seperti highback iaitu mempunyai "gold ring" iaitu jalur emas pada lilitan luar sisik.



Golden High Back - "ring" emas cuma kelihatan sehingga ke sisik barisan ke 4 1/2 atau 5. Pandangan dari atas, tiada warna keemasan pada sisik atas belakang.




5. Golden Super High Back
Dihasilkan dari kacukan MG dan Golden Highback. Kualiti baka ini akan bertambah baik sekiranya proses kacukan dilakukan berulangkali, iaitu anak Super HB dikacuk lagi dengan MG, dan begitulah seterusnya. Sekiranya proses kacukan ini diulang berkali-kali, anak Super HB yang terhasil berupaya mempunyai kriteria dan kualiti seperti mana MG, bahkan hampir tak dapat dibezakan dari MG, kecuali dengan melihat pada 'chu'nya.

Super Highback yang berkualiti tinggi mempunyai keamatan  warna emas yang kuat (pekat) pada 'ring'nya. Begitu juga dengan warna asasnya (base colour) yang juga pekat. Walau bagaimanapun, ia dibezakan dengan MG berpandukan kualiti 'chu'nya di mana 'chu' pada Super Highback adalah kurang sempurna, iaitu saiz chu agak kasar dan susunan yang tidak sempurna.







Panduan Kasar harga Pasaran: (kemaskini 28 Jun 2011)

Berikut adalah senarai harga arowana golden bagi pembelian pukal :

(Nota: harga di bawah hanyalah panduan kasar semata-mata, harga pasaran sebenar adalah bergantung kepada kualiti (gred) ikan dan berubah mengikut "bekalan dan permintaan" semasa)

1. Golden High Back
Harga belian anak:  Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM600-RM800
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM1,200-RM1,500
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM2,000-RM3,000

2. Golden Super High Back
Harga belian anak:  Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM1,200-RM1,500
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM2,500-RM3,000
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM3,500-RM4,500

3. Malaysia Golden (MG)
Harga belian anak: Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM1,800-RM2,000
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM2,500-RM3,500
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM4,500-RM6,000

4. MG Cross Back
Harga belian anak: Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM2,000-RM3,000
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM4,000-RM6,000
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM6,000-RM10,000

5. MG Full Gold atau 24K Gold
Harga belian anak: Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM3,500-RM4,500
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM5,500-RM8,000
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM10,000 ke RM15,000

6. MG Golden Head
Harga belian anak: Saiz : 5-6 inci (Usia 5-6 bulan) : RM4,000-RM4,500 (sekurang-kurangnya 50% gold helmet)
Harga jualan balik: Saiz: 14-15 inci (Usia 14-15 bulan) : RM8,000-RM10,000 (gold helmet 80% ke atas)
Harga jualan balik: Saiz: 20-22 inci (Usia 24-30 bulan) : RM15,000 ke atas (full gold helmet)




Saturday, January 23, 2010

More Casualties...But Life Must Go On.....

Dalam tempoh seminggu, iaitu dari hari pertama ketibaan anak-anak arowana ini, sehingga hari ke-7, jumlah kematian adalah 6 ekor. Baki 30 ekor yang tinggal, walau bagaimanapun, kelihatan stabil, sihat dan cergas. Saya harap tiada lagi sebarang kematian berlaku selepas ini, InsyaAllah....

Saya difahamkan bahawa dengan usia yang masih muda, iaitu 2 bulan, dan saiz yang masih kecil iaitu 3 inci (sebahagian darinya bersaiz tidak sampai 3 inci), anak-anak arowana sememangnya belum stabil. Dalam usia sebegini, ia tidak seharunsya dipindah-pindah dan dibawa dalam perjalanan jauh untuk mengelakkan risiko kematian.

Saya menganggap ini sebagai satu pengajaran penting, dan saya akan lebih berhati-hati membeli anak-anak arowana di masa akan datang. Saya hanya akan membeli anak-anak bersaiz 4 inci ke atas.

Anak arowana yang mati ini bersaiz lebih sedikit dari 3 inci




Sunday, January 17, 2010

Casualties........casualties.......casualties

Atas nasihat penjual anak-anak arowana ini, saya mengurangkan paras ketinggian air di dalam akuarium dari 1 kaki ke hanya kira-kira sejengkal, iaitu kira-kira 6 inci. Saya juga diberitahu bahawa pH yang tinggi adalah disebabkan oleh kesan "coral" iaitu batukarang yang terdapat di dalam 'filtration system'. "Coral" menyebabkan air menjadi sedikit beralkali. Beliau menasihatkan saya supaya menukar "coral" ini kepada "bio rings".

Saya mengeluarkan "coral" tersebut dan selepas mendapatkan bekalan "bio rings" dari pusat akuarium berdekatan, "bio rings" saya masukkan ke dalam 'filtration system'. Fungsi "bio rings" adalah menggalakkan pertumbuhan bakteria baik (Effective Micro Organisms). Seorang pengusaha akuarium berbangsa Cina menasihatkan saya supaya menukar air setiap hari untuk menurunkan pHnya. Selang beberapa hari, pH air kelihatan menurun ke tahap 7.5, iaitu menghampiri tahap neutral. Jadi benarlah, pH yang tinggi adalah disebabkan oleh kehadiran "coral" di dalam "filtration system" akuarium baru ini.

Saya juga memasang "heater" untuk mengekalkan suhu air di dalam akuarium ke tahap yang sesuai iaitu 30 darjah Celcius, sebagaimana yang dicadangkan oleh penjual tersebut. Dengan tahap suhu ini, air berada di tahap suam suam kuku.

Hari pertama kehadiran anak-anak arowana High Back bersaiz 3 inci dan kurang berjalan lancar. Terdapat kira-kira 5 hingga 6 ekor yang agak-agak pening-pening lalat sejak ketibaan ke akuarium saya. Ada yang berenang tonggang terbalik, manakala beberapa ekor lagi belum dapat menstabilkan diri (off-balance) dan sekejap mengiring ke kiri sekejap ke kanan. Saya difahamkan bahawa ini adalah perkara biasa di peringkat awal kerana perjalanan yang jauh dan media yang berkocak semasa perjalanan.

Selepas 20 jam anak-anak arowana ini berada di akuarium, saya mendapat kasualti yang pertama.....seekor dah jadi arwah.

Inna liLLahi wa inna ilahi rajiun..........

Prestasi Set Akuarium Baru...pH air

Setelah membiarkan sistem pam berjalan selama beberapa hari, saya menguji tahap pH air dalam akuarium baru ini.

Mengejutkan!
pH air berada di tahap 9, iaitu air akuarium ini sedikit beralkali.

Untuk perbandingan, saya menguji pH air dari set akuarium lama dan didapati pH berada di tahap 7, iaitu air tersebut adalah neutral, dan sangat sesuai untuk ikan-ikan hidup.

Keputusan yang berlainan dari 2 akuarium yang berbeza ini sangat mengelirukan, kerana kedua-dua akuarium menggunakan sumber air yang sama, iaitu bekaln air paip SYABAS.

Untuk beberapa lama, saya masih gagal memahami bagaimana tahap pH air bagi kedua-dua akuarium ini boleh berbeza. Hati saya agak kurang senang untuk memelihara anak arowana dalam akuarium baru ini. Bagaimanapun, keesokannya saya membeli 5 ekor anak ikan lampam untuk dilepaskan di dalam kedua-dua  akuarium baru ini. Nampaknya, anak lampam ini dapat hidup dan dengan sihat dan cergas walaupun air sedikit beralkali.

Saturday, January 16, 2010

Kemasukan Pertama Anak-anak Arowana

Akuarium dah ada.... sistem penyelenggaraan yang saya cipta nampaknya memang mesra pengguna. Langkah selanjutnya adalah mendapatkan anak-anak arowana bersaiz kecil iaitu antara kira-kira 3 inci, dengan anggaran usia 2 bulan. Anak-anak arowana terutamanya dari baka "High Back" agak sukar didapati kerana permintaan yang tinggi akhir akhir ini. Kolam MU Arowana milik En.Fadil juga tidak mempunyai stok dalam tempoh terdekat ini.

Pencarian anak-anak arowana dimulakan. Setelah mendapat info dari seorang kenalan yang telah lama bergiat dalam perniagaan arowana ini, iaitu Shahbudin, saya menalipon salah seorang pemilik kolam di Bukit Merah. Setelah persetujuan tentang harga dibuat, bayaran deposit saya masukkan .... dan sekarang hanya menanti beliau menghantar stok 36 ekor anak-anak "High Back".

Jumaat 15 hb Januari 2010 jam 10malam, penjual tiba di rumah saya dari Bukit Merah dengan membawa 36 ekor anak-anak arowana. Nilainya??? rahsia...........

Bermulalah suatu dimensi baru dalam hidup saya.... aktivit membesarkan anak-anak arowana dan memasarkannya di kawasan Kuala Lumpur.



Kumpulan 36 ekor anak-anak arowana baka "High Back" yang baru tiba dari Bukit Merah