Thursday, April 29, 2010

MATA JULING (EYE DROOP)

Assalamualaikum wm wbkh...
Fenomena mata juling ke bawah, atau lebih dikenali dengan "mata jatuh" atau dalam bahasa inggerisnya "eye droop" adalah keadaan di mana salah satu mata (atau kadang-kadang kedua-dua belah mata) arowana kelihatan memandang ke bawah sentiasa.
Ia bukanlah suatu penyakit bawaan bakteria atau sebagainya, dan tidaklah merbahaya kepada arowana tersebut. Walau bagaimanapun, dari sudut kecantikan, nilainya jatuh dan tidak disukai oleh para hobbyist.

Sebab-sebab berlakunya mata jatuh
Berbagai hipotesis dikemukakan oleh penggemar arowana tentang sebab-sebab berlakunya "mata jatuh" ini. Antaranya adalah :
1. disebabkan pemakanan tertentu seperti palet (butiran) yang agak keras
2. disebabkan oleh pemakanan ulat 'super worm' berlebihan yang menyebabkan lemak berlebihan terkumpul di bahagian atas mata, lalu menyebabkan bola mata tertolak ke bawah seterusnya menjadi juling. Ini mungkin suatu fakta kerana super worm dikatakan mempunyai kandungan lemak yang tinggi.
3. disebabkan oleh pemakanan seperti udang (yang kebiasaannya bermain di dasar akuarium), menyebabkan arowana selalu memandang ke bawah semasa mencari makanan.
4. kedudukan tangki akuarium yang tinggi menyebabkan arowana asyik memandang ke luar akuarium ke arah bawah, terutamanya apabila terdapat objek di luar akuarium yang menarik perhatian arowana tersebut.
5. dan spelbagai sebab lain.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya, pemberian udang sebagai makanan tidak menjadi punca kepada masaalah ini. Sebaliknya, kedudukan akuarium yang tinggi di mana ia menggalakkan arowana asyik memandang keluar akuarium ke arah bawah boleh menjadi salah satu puncanya. Dari  pembacaan saya pula, seorang penulis buku berkenaan arowana telah menjalankan eksperimen dan berjaya membuktikan bahwa "mata jatuh" adalah disebabkan oleh arowana memakan makanan keras seperti palet. Jadi, elakkan dari memberi makanan palet atau butiran kepada arowana anda. Pemberian super worm berlebihan juga terbukti boleh menyebabkan mata jatuh, berdasarkan pengalaman saya sendiri serta rakan-rakan penggemar arowana yang lain.

Bagaimana merawat mata juling
Kebanyakan penggemar arowana serta penulis buku berkenaan ikan peliharaan ini berpendapat bahawa keadaan mata juling hanya dapat dirawat melalui pembedahan kecil.

Bagaimanapun, sekiranya ia berlaku pada arowana yang masih muda, kaedah melatih pemandangannya mungkin dapat membantu matanya pulih kembali tanpa perlu melalui pembedahan. Memasukkan objek terapung yang dapat menarik perhatian arowana dan menariknya untuk sentiasa memandang ke atas dapat membantu. Contohnya, meletakkan superworm di dalam bekas transparent dan membiarkannya terapung di dalam akuarium.

Begitu juga, penggunaan objek berwarna  terang (seperti bola pingpong berwarna oren/merah) mungkin juga dapat membantu. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri di mana saya mempunyai seekor MG Crossback yang berusia kira-kira 8 bulan dan bersaiz kira-kira 8 inci. Saya memeliharanya bersama 4 ekor arowana lain di dalam sebuah tangki fiber bertingkap kaca yang diletakkan di atas sebuah 'stand' setinggi kira-kira 3 kaki dari lantai.

Pada suatu ketika, saya dapati matanya mulai juling ke bawah. Menyedari hal ni, saya mengalihkan tangki fiber tersebut dan meletakkannya di atas lantai. Saya juga menutup bahagian bawah tingkap kaca tangki tersebut dengan 'sticker'. Tujuan saya adalah supaya arowana tersebut tidak dapat memandang keluar ke arah bawah, sebaliknya matanya terpaksa memandang ke arah atas apabila melihat orang lalu lalang. Selepas melatihnya dalam keadaan begini selama kira-kira  2bulan, saya dapati matanya beransur pulih dan tidak lagi kelihatan terlalu juling.... Alhamdulillah...

Walau bagaimanapun, rawatan seperti ini mestilah dilakukan secara berterusan. Jika tidak, mata arowana akan kembali juling ke bawah semula.
\

No comments:

Post a Comment